Ahad, 19 November 2017 | 7:45am
PEMAIN bintang United, Paul Pogba meledak satu gol dan mencipta satu jaringan apabila kembali beraksi selepas dua bulan diketepikan, ketika bertemu Newcastle United, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Pogba kembali dengan bergaya

MANCHESTER: Paul Pogba meledak satu gol dan mencipta satu jaringan apabila kembali beraksi selepas dua bulan diketepikan, ketika membantu Manchester United menang 4-1 ke atas Newcastle United dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford, awal pagi tadi.

Dalam aksi itu, United perlu bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk meraih satu mata apabila Dwight Gayle meledak gol pembukaan untuk skuad bimbingan Rafa Benitez itu pada minit ke-14.

Namun, gerakan Pogba berjaya mencetuskan gol penyamaan tuan rumah apabila dia melambungkan hantaran yang disambut Anthony Martial untuk menjadikan kedudukan 1-1, pada minit ke-37.


PAUL Pogba diasak pemain Newcastle, Jonjo Shelvey pada aksi EPL di Old Trafford, awal pagi tadi. - Foto Reuters

United kemudian mendahului permainan di penghujung babak pertama (minit ke-45), apabila Chris Smalling melonjak tinggi untuk menanduk masuk hantaran lintang Ashley Young.

Pogba menjadikan kedudukan 3-1 pada minit ke-54, sebelum Romelu Lukaku menamatkan kemarau jaringannya dalam tujuh perlawanan apabila meledak gol ke-12 musim ini ketika perlawanan berbaki 20 minit.

Pengendali United, Jose Mourinho turut membawa masuk Zlatan Ibrahimovic yang membuat penampilan pertama sejak mengalami kecederaan ligamen lutut pada April lalu, yang menyaksikan volinya berjaya diselamatkan penjaga gol Newcastle United, Rob Elliot.


AKSI Paul Pogba menewaskan penjaga gol Newcastle untuk jaringkan gol ketiga United pada aksi EPL di Old Trafford, awal pagi tadi. - Foto Reuters

"Kami berdepan kesulitan apabila beraksi dalam perlawanan yang sukar tanpa pemain yang penting, jadi kita perlu lihat sama ada kita mampu mengharungi beberapa aksi selepas ini dengan pemain yang ada ketika ini.

"Lebih ramai pemain yang kami ada, lebih baik situasi itu untuk saya.

"Apapun, saya berpuas hati dengan kemenangan ini dan kualiti yang ditunjukkan pemain untuk bangkit selepas dikejutkan dengan gol pembukaan oleh pasukan lawan," kata Mourinho. - Reuters


PEMAIN United, Anthony Martial dihalang dua pemain Newcastle pada aksi EPL di Old Trafford, awal pagi tadi. - Foto Reuters

150 dibaca
Berita Harian X