Sabtu, 18 November 2017 | 10:46pm
PEMAIN Arsenal, Alexis Sanchez (kanan) cuba melepaskan rembatan ke arah gawang Tottenham Hotspur tetapi dapat diselamatkan Hugo Lloris pada aksi Liga Perdana Inggeris, sebentar tadi. - Foto AFP

Mustafi, Sanchez julang Arsenal

LONDON: Arsenal kembali membuka peluang untuk memburu sekurang-kurangnya kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menewaskan Tottenham Hotspur 2-0 di Stadium Emirates, sebentar tadi.

Dua gol pada babak pertama menerusi Shkodran Mustafi dan Alexis Sanchez sudah cukup untuk skuad kendalian Arsene Wenger meraih tiga mata berharga dan menebus kekecewaan tewas 1-3 kepada pendahulu Manchester City, 5 November lalu.

Kemenangan itu menyaksikan Arsenal kini mengumpul 22 mata selepas 12 perlawanan dengan tujuh kemenangan, satu seri dan empat kekalahan.


ALEXIS Sanchez (kanan) berjaya menewaskan Hugo Lloris untuk jaringan kedua Arsenal pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Emirates, sebentar tadi. - Foto REUTERS


PEMAIN Tottenham, Harry Kane (tengah) diasak pemain Arsenal, Shkodran Mustafi di Stadium Emirates, sebentar tadi. - Foto REUTERS

Kekalahan Spurs pula kali ketiga musim ini selepas tewas 0-1 dan 1-2 kepada Manchester United dan Chelsea.

Spurs dilihat lebih banyak melakukan percubaan tepat ke arah pintu gol Arsenal pada awal permainan terutama menerusi rembatan Harry Kane pada minit keenam yang berjaya diselamatkan penjaga gawang Petr Cech.

Percubaan terbaik Spurs hadir pada minit ke-32 menerusi rembatan deras Christian Eriksen yang menggegar tiang gol kanan Arsenal.

Arsenal bagaimanapun terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Mustafi yang menanduk masuk bola sepakan percuma Mesut Ozil pada minit ke-36.

Selang lima minit kemudian, pintu gol Spurs bolos buat kali kedua apabila Sanchez bijak menyempurnakan hantaran silang Alexandre Lacazette.

Bintang antarabangsa Chile itu hampir meledak gol ketiga The Gunners pada minit ke-70, namun percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol, Hugo Lloris.

Anak didik Mauricio Pochettino cuba bangkit pada penghujung permainan, namun gagal memecahkan kebuntuan jaringan hingga wisel penamat.

15 dibaca
Berita Harian X