Rabu, 15 November 2017 | 10:49pm
PENJARING terbanyak skuad B-19, Muhammad Hadi Fayyadh cukup menyerlah sepanjang kempen kelayakan AFC yang menyaksikan anak buah Hodak meraih slot ke pusingan akhir di Indonesia tahun depan. - Foto Roslin Mat Tahir

Anak buah Hodak pikat Kim Swee

KUALA LUMPUR: Kecemerlangan skuad kendalian Bojan Hodak dalam kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bawah 19 tahun (B-19) di Paju, Korea Selatan baru-baru ini nyata memikat hati 'orang nombor satu' skuad B-23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee.

Jelas Kim Swee, beliau tidak teragak-agak menyenaraikan beberapa pemain dari skuad B-19 itu bagi menghadapi pusingan akhir Kejuaraan AFC B-23 di China, 10 Januari ini.

"Sudah tentu akan ada pemain baharu terutamanya B-19 yang akan saya senaraikan dan juga akan ada beberapa pemain daripada skuad utama (B-23) digugurkan.

"Berdasarkan prestasi baik mereka di Korea Selatan tempoh hari, ada beberapa pemain saya percaya mampu bermain di peringkat tertinggi itu, malah mampu mengisi beberapa slot dalam pasukan ketika ini.

"Bagaimanapun, mereka perlu bersaing merebut tempat dan semua pemain termasuk skuad asal akan dinilai sepanjang tiga minggu latihan fasa pertama di Johor Bharu sebelum kita berangkat ke Korea Selatan untuk latihan pusat di sana," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Penjaring terbanyak skuad B-19, Muhammad Hadi Fayyadh serta dua tonggak lincah, Nik Akif Syahiran dan Akhyar Abdul Rashid antara pemain cukup menyerlah sepanjang kempen kelayakan AFC yang menyaksikan anak buah Hodak meraih slot ke pusingan akhir di Indonesia tahun depan.

Daripada tiga pemain itu, hanya Akhyar pernah merasai berlatih di bawah kendalian Kim Swee ketika dia membantu pasukan muncul juara kelayakan AFC B-23 di Bangkok Julai lalu selain memenangi pingat perak di Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu.

"Di Bangkok dulu tiada yang meletakkan harapan tinggi untuk kita layak tapi kita tetap berjaya. Jadi, perkara sama juga akan kita tempuh di China nanti terutama selepas diundi sekumpulan dengan tiga pasukan dari negara arab.

"Tidak kira walau siapapun dari B-23 atau B-19 yang penting persiapan kita untuk menghadapi kejohanan itu. Pemain harus tunjukkan kesungguhan dan komitmen tinggi sepanjang latihan pusat bermula penghujung bulan ini," katanya.

Skuad B-22 berdepan misi sukar selepas diundi menentang tiga gergasi Asia Barat iaitu Iraq, Jordan dan Arab Saudi dalam saingan Kumpulan C dengan Malaysia dijadual membuka kempen bertemu Iraq pada 10 Januari diikuti Jordan (13 Januari) dan Arab Saudi (16 Januari).

Berita Harian X