Jumaat, 10 November 2017 | 10:57am
AKSI berdepan Korea Utara adalah peluang terbaik untuk Harimau Malaya meleburkan rekod hampir setahun kemarau kemenangan. - Foto FAM

Peluang Harimau Malaya hapus badi buruk

BURIRAM, THAILAND: Penyerang skuad kebangsaan, Ahmad Hazwan Bakri menyifatkan aksi berdepan Korea Utara pada kempen kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium I-Mobile, Buriram, malam ini adalah peluang terbaik untuk Harimau Malaya meleburkan rekod hampir setahun kemarau kemenangan.

Hazwan yang dilihat bakal menggalas tugas selaku penyerang utama bagaimanapun enggan dilabelkan sebagai pemain harapan untuk menyumbang tiga mata berharga buat Harimau Malaya.

"Tiada istilah hanya bergantung kepada saya seorang saja kerana bola sepak adalah sukan berpasukan.

"Jadi, semua pemain pemain perlu memainkan peranan masing-masing untuk mencari gol dan memberi kemenangan buat pasukan.

"Malah, bagi saya ini adalah peluang terbaik untuk kami mencipta keputusan yang baik selepas sekian lama Harimau Malaya gagal meraih sebarang kemenangan," katanya.


SKUAD Harimau Malaya menjalani sesi latihan di Stadium Khaokradong, Buriram, Thailand, sebagai persiapan menghadapi perlawanan Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Korea Utara. - Foto FAM

Kali terakhir Harimau Malaya mencatat kemenangan adalah pada November tahun lalu selepas menewaskan Kemboja 3-2 pada aksi peringkat kumpulan saingan Piala AFF Suzuki di Yangon, Myanmar.

Malaysia gagal mencatat sebarang kemenangan dalam enam perlawanan tahun ini dengan lima perlawanan yang dikendalikan oleh Nelo Vingada menyaksikan Malaysia tewas 1-2 kepada Lubnan, Kalah 0-2 dan seri 1-1 dengan Hong Kong dalam aksi kelayakan manakala kalah menentang Syria 1-2 dan Myanmar 0-1 pada perlawanan persahabatan.

Berita Harian X