Rabu, 8 November 2017 | 10:23pm
PEMAIN Malaysia, Francisco Insa Bohigues (dua dari kiri) diasak oleh pemain Hong Kong, Helio Jose De Souza Goncalves (kiri) pada aksi Kelayakan Piala Asia (AFC) 2019 di Stadium Hang Jebat, Krubong. - Foto Khairunisah Lokman

'Elak kad merah' - Kiko

BURIRAM: Tonggak pertahanan skuad kebangsaan, Kiko Insa berharap tiada pemain Harimau Malaya yang dikenakan kad merah pada aksi kelayakan Piala Asia 2019 menentang Korea Utara di Stadium I-Mobile, Jumaat dan Isnin ini.

Impian itu susulan tiga pemain negara, Rizal Ghazali, Aidil Zafuan Abd Radzak dan kapten, Safiq Rahim dibuang padang pada sepanjang dua aksi bertemu Hong Kong sekali gus menjejaskan perancangan pasukan untuk berdepan Korea Utara.

"Adalah sesuatu yang biasa apabila pemain dikenakan kad dalam perlawanan. Saya juga pernah dilayangkan kad merah ketika final Piala FA tahun ini. "Tapi lihat apa berlaku kepada Pahang? Kami tewas di tangan Kedah dan begitu juga yang berlaku ketika Safiq dibuang pada pada aksi di Hong Kong, kami kecundang 0-2.

"Memang sukar beraksi dengan jumlah pemain kurang berbanding lawan dan saya harap kami dapat beraksi dengan baik dan mengelak daripada insiden yang boleh menyebabkan kad merah," katanya.


Pemain Pahang, Kiko Insa (kanan) dilayang kad merah oleh pengadil, Nagor Amir Noor Mohamed Yahya pada aksi final Piala FA di Stadium Shah Alam. - Foto Owee Ah Chun

Malaysia kini berada di kedudukan tercorot Kumpulan B apabila hanya mengutip satu mata selepas mengharungi tiga perlawanan.

Ini adalah kali kelima Kiko dipanggil menyertai skuad Harimau Malaya dan dia juga dianggap pemain serba boleh apabila mampu beraksi di pelbagai posisi termasuk pertahanan, tengah bertahan dan tengah.

Namun, bagi tonggak berusia 29 tahun itu, dia sebenarnya lebih selesa untuk beraksi di posisi asalnya iaitu pertahanan tengah.

"Saya sedia beraksi di mana-mana posisi yang diletakkan jurulatih, tapi posisi paling saya sukai adalah pertahanan tengah.

"Ramai orang cakap saya pemain tengah, tapi sebenarnya saya bukan bermain di bahagian itu. Jika diletakkan di bahagian pertahanan tengah, saya tiada masalah untuk bergandingan dengan Shahrom (Kalam) dan Fadhli Shas," katanya.

31 dibaca
Berita Harian X