Rabu, 8 November 2017 | 5:50am
PEMAIN pertahanan Perancis, Laurent Koscielny nyatakan hasrat bersara daripada skuad kebangsaan selepas saingan Piala Dunia 2018. - Foto AFP

Koscielny bersara selepas Piala Dunia

PARIS: Pertahanan Perancis, Laurent Koscielny akan bersara daripada skuad kebangsaan selepas kempen Piala Dunia tahun depan bagi memberi ruang kepada generasi baharu.

"Ketika sudah mencapai 32 tahun, saya mula rasa semakin berusia. Dengan adanya Sam Umtiti (pemain Barcelona) dan pemain lain yang baharu berusia 20 an, kini sudah tiba masanya," kata Koscielny.

"Ianya satu keputusan yang penting. Saya sudah lakukannya buat pasukan Perancis tetapi berbaki enam bulan, saya mahu pastikan saya meninggalkan pasukan dengan kenangan yang indah."

Di barisan pertahanan, jurulatih Perancis, Didier Deschamps kebiasaannya menggunakan khidmat pemain Real Madrid, Raphael Varane, 24, dan Umtiti, 23, yang membuat penampilan pertama pada Euro tahun lalu bersama Presnel Kimpembe, 22, (Paris Saint-Germain).

"Ada lima atau enam muka lama yang boleh beri persaingan kepada pemain muda. Kami belum lagi begitu berusia," kata Koscielny yang sudah memiliki 49 kap bersama skuad Les Bleus.

Sebagai persiapan ke pusingan akhir di Russia tahun depan, Perancis akan menentang Wales dalam perlawanan persahabatan di Paris sebelum dijadualkan bertemu juara dunia, Jerman di Cologne. - AFP

Berita Harian X