Selasa, 7 November 2017 | 6:39pm
PENGENDALI baharu West Ham, David Moyes dilantik menggantikan Slaven Bilic yang dipecat susulan prestasi buruk West Ham yang tewas 4-1 di tangan Liverpool sekali gus menghuni zon penyingkiran dengan hanya meraih dua kemenangan dalam 11 aksi liga. - Foto AFP

Moyes ganti Bilic kendali West Ham

London: West Ham United melantik bekas pengurus Manchester United, David Moyes sebagai pengendali baru bagi menggantikan Slaven Bilic yang dipecat, kata kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, hari ini.

Bilic dipecat semalam selepas pertemuan dengan pegawai pasukan itu susulan prestasi buruk West Ham yang tewas 1-4 di tangan Liverpool, sekali gus menghuni zon penyingkiran dengan hanya meraih dua kemenangan dalam 11 aksi liga.

"Kita perlu melakukan kerja yang lebih keras tetapi saya yakin dengan kerjasama semua pihak, kita akan kembali meraih keputusan positif," kata Moyes menerusi video yang dipaparkan di laman sosial Twitter pasukan.

Moyes mengharungi karier EPL yang memberangsangkan hingga menyaksikan dia cemerlang mengemudi Everton selama 11 tahun.

Dia berjaya membawa Everton mara ke pusingan ketiga kelayakan Liga Juara-Juara 2005 selain membawa The Toffees ke pentas akhir Piala FA 2009.

Reputasi itu membolehkan beliau menggantikan Alex Ferguson selaku pengendali Manchester United, namun kegagalan meneruskan legasi yang dibina Ferguson menyebabkan dia dipecat hanya selepas 10 bulan menjadi jurulatih The Red Devils.

Pengendali berusia 54 tahun itu kemudian ke Sepanyol dan membimbing Real Sociedad pada tahun 2014, sebelum kembali ke England, tahun lalu untuk menggantikan Sam Allardyce sebagai pengurus Sunderland. - Reuters

Berita Harian X