Khamis, 2 November 2017 | 8:01am
GAYA penyerang Sevilla, Clement Lenglet (kanan) selepas meledak gol ketika menentang Spartak Moscow di Stadium Sanchez Pizjuan, sebentar tadi. - Foto EPA-EFE

Sevilla hidupkan peluang ke kelompok 16

MADRID: Sevilla kembali ke senarai pendahulu untuk layak ke kelompok 16 terbaik, Liga Juara-Juara ketika jaringan Clement Lenglet dan Ever Banega memastikan kemenangan 2-1 ke atas Spartak Moscow, awal pagi tadi.

Kemenangan itu membawa Sevilla berada setakuk di atas pasukan Russia berkenaan di dalam Kumpulan E, selepas meraih tujuh mata, berbanding lima mata buat Spartak.


PEMAIN tengah Sevilla dari Argentian, Ever Banega (kiri) bersaing dengan pemain Spartak Moscow, Mario Pasalic pada saingan Liga Juara-Juara di Stadium Sanchez Pizjuan, sebentar tadi. - Foto AFP

Liverpool pula kekal di tangga teratas kumpulan, dengan lapan mata selepas menang 3-0 mengatasi Maribor di Anfield.

Selepas dibelasah 5-1 di Moscow, dua minggu lalu, Sevilla memerlukan kemenangan untuk meneruskan kemaraan dalam Liga Juara-Juara.

Tuan rumah memulakan saingan untuk mencari kelebihan awal dengan Pablo Sarabia yang beraksi di kanan dan Nolito di kiri memberikan ancaman berterusan pada awal saingan, tetapi dikecewakan dengan penyudah yang tumpul.


PENGURUS Sevilla, Eduardo Berizzo ceria selepas benam Spartak Moscow di Stadium Sanchez Pizjuan, sebentar tadi. - Foto Reuters

Sepakan Nolito dari sudut sempit ditepis Aleksandr Selikhov, sebelum bekas penyerang Manchester City itu mensia-siakan peluang menjaringkan gol apabila melambungkan bola ke atas gawang.

Skuad kendalian Eduardo Berizzo memerlukan sepakan bola mati untuk memecah benteng pasukan Russia itu menerusi gol pertama pada minit ke-30.

Gol itu diraih apabila Lenglet melompat tinggi untuk menyambar hantaran Banega, walaupun Selikhov berjaya menepis sedikit tandukannya.

Selepas ketinggalan, pelawat mula menukar corak permainan dan hampir menyamakan kedudukan menerusi cubaan pertama, hasil sepakan percuma Fernando tetapi diselamatkan Sergio Rico.

Sevilla tampak mendominasi aksi apabila Banega melencongkan bola ke sudut gawang untuk jaringan kedua, selepas sejam perlawanan.

Ze Luis kembali memberikan sedikit harapan buat Spartak apabila menjaringkan gol ketika saingan berbaki 12 minit, tetapi buntu mencari gol penyamaan sehingga wisel penamat. - AFP

Berita Harian X