Selasa, 31 Oktober 2017 | 5:04pm

FAM didenda RM179,732 kerana penyokong

KUALA LUMPUR: Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mendenda Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebanyak AS$42,500 (RM179,732) kerana kesalahan penyokong ketika Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos lalu.

Sebanyak AS$30,000 (RM126,870) daripada jumlah itu dikenakan kerana penyokong menyanyikan 'chant' yang menghina pasukan lawan, ketika Malaysia berdepan Brunei dan Malaysia bertemu Singapura di Stadium Shah Alam pada 14 dan 16 Ogos lalu.

AFC dalam laman web mereka hari ini mendedahkan 'chant' yang dinyanyikan penyokong itu termasuk "Kami datang ke Shah Alam, satu jiwa yang menyokong Malaysia, Anjing Brunei patut dibunuh" ketika aksi Malaysia berdepan Brunei.

Satu lagi chant yang didedahkan AFC adalah "Kami turun ke Shah Alam, satu jiwa yang menyokong Malaysia, Anjing Singapura patut dibunuh" dan "Singapura anjing, Singapura anjing, Singapura anjing" ketika aksi berdepan Singapura.

Kesalahan ketiga adalah tindakan penyokong membakar mercun pada minit ke-87 ketika aksi separuh akhir Malaysia berdepan Indonesia di stadium sama, pada 26 Ogos lalu.

Ia menyaksikan FAM diperintahkan membayar denda sebanyak AS$7,500 (RM31,717) kerana melanggar Artikel 65.1 yang dibaca bersama dengan Artikel 64.1 Kod Tatatertib dan Etika AFC.

Sementara itu, FAM turut didenda kerana tindakan penyokong membaling 50 hingga 60 botol minuman ke padang ketika aksi peringkat Kumpulan B, antara Indonesia dan Kemboja.

FAM yang juga selaku penganjur pertandingan didenda sebanyak AS$5,000 (RM21,145) kerana melanggar Artikel 64.1 Kod Tatatertib dan Etika AFC.

AFC berkata, kesemua denda hendaklah dijelaskan dalam tempoh 30 hari bermula hari ini dan hukuman lebih berat akan dikenakan sekiranya kesalahan sama berulang.

Berita Harian X