Sabtu, 28 Oktober 2017 | 9:57pm
PEMAIN Manchester United, Anthony Martial meraikan jaringan bersama rakan sepasukan Romelu Lukaku pada aksi EPL di Stadium Old Trafford, sebentar tadi. - Foto REUTERS

EPL: Martial wira United tundukkan Spurs

MANCHESTER, England: Jaringan pemain gantian Anthony Martial pada minit ke-81 membantu Manchester United menang 1-0 ke atas Tottenham Hotspur pada aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford sekali gus mengekori rapat pendahulu Manchester City, sebentar tadi.

Pasukan tuan rumah yang dikejutkan Hudddersfield Town minggu lalu, tampak bergelut dengan pertahanan kental Spurs dan kemenangan di laman sendiri itu pasti melegakan pengendalinya, Jose Mourinho.

United kini mengumpul 23 mata, dua mata di belakang pendahulu City manakala Spurs yang berada di tangga ketiga dengan 20 mata. Impak pemain simpanan Jesse Lingard dan penyerang Perancis, Martial jelas memberi sinar baharu buat United pada perlawanan yang menyaksikan babak kedua berlangsung dalam keadaan hujan.

MARTIAL meraikan jaringan selepas meledak gol tunggal perlawanan ketika menentang Tottenham Hotspur, sebentar tadi. - Foto AFP

LUKAKU (kanan) gagal menjaringkan gol selepas diasak pertahanan Tottenham di Stadium Old Trafford. - Foto AFP

PEMAIN Manchester United, Nemanja Matic mengawal pergerakan pemain Spurs, Dele Alli pada aksi EPL, sebentar tadi. - Foto REUTERS

TONGGAK Tottenham, Mousa Dembele bertekak dengan pemain United, Ander Herrera ketika aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Old Trafford, sebentar tadi. - Foto REUTERS

Tottenham yang turun tanpa penjaring gol terbaik mereka, Harry Kane yang mengalami kecederaan hamstring, mempamerkan corak permainan kemas dan progresif terutamanya di bahagian tengah.

Spurs setakat ini tewas 21 daripada 26 kunjungan mereka ke Old Trafford dalam saingan Liga Perdana Inggeris - rekod terburuk mereka ketika menentang mana-mana kelab dalam divisyen sama.

United bermain dengan corak agresif di babak kedua apabila percubaan Henrikh Mkhitaryan dan Romelu Lukaku, kedua-duanya hampir menewaskan Hugo Lloris manakala Spurs mungkin mampu mendahului permainan pada minit ke-76 menerusi hantaran Christian Eriksen kepada Dele Alli namun percubaan pemain tengah England itu tersasar.

Keadaan semakin tegang buat United apabila tandukan Lukaku terkena palang dan ia seakan memberi isyarat betapa perlawanan sama sekali tidak memihak kepada mereka.

Namun, keadaan terus berubah selepas itu apabila hantaran jauh De Gea disambar Lukaku sebelum melakukan hantaran kepada Martial bagi menewaskan penjaga gol lawan Lloris. - REUTERS

Berita Harian X