Sabtu, 28 Oktober 2017 | 7:11pm
SKUAD Harimau Malaya ketika sesi latihan di Wisma FAM Kelana Jaya. - Foto Osman Adnan

Harimau Malaya perlu elak tragedi di Thailand

KUALA LUMPUR: Bekas pemain kebangsaan Serbegeth Singh berharap skuad Harimau Malaya dapat mengelak tragedi di Thailand apabila mengharungi dua perlawanan kelayakan Piala Asia 2019, bulan depan.

Beliau berkata, dua aksi menentang Korea Utara pada 10 dan 13 November di gelanggang berkecuali itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya anak buah Nelo Vingada supaya tidak melakar sejarah buruk gagal mencatat sebarang kemenangan tahun ini.

"Keputusan AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) menukar venue perlawanan itu adalah keputusan baik untuk skuad kebangsaan yang tidak perlu mengharungi perjalanan jauh ke Pyongyang.

"Skuad kebangsaan harus memberikan aksi terbaik dalam dua perlawanan ini kerana ini peluang mereka bukan saja untuk layak ke Piala Asia malah mencari kemenangan pertama tahun ini.

"Kita harap perlawanan di Thailand nanti tidak menjadi tragedi buat pasukan kebangsaan kerana kalau kita gagal mencatat kemenangan, ia bakal menjadi sejarah buruk kita tidak memenangi perlawanan dalam setahun," katanya hari ini.

Skuad Harimau Malaya mengharungi tiga perlawanan persahabatan antarabangsa dan tiga perlawanan kelayakan Piala Asia tahun ini tanpa sebarang kemenangan.

Lima perlawanan di bawah kendalian Vingada menyaksikan Malaysia tewas 1-2 kepada Lubnan, kalah 0-2 dan seri 1-1 dengan Hong Kong dalam aksi kelayakan dan kalah menentang Syria (1-2) dan Myanmar (0-1) pada perlawanan persahabatan.

Perlawanan dengan Korea Utara yang sudah tertangguh tiga kali atas faktor keselamatan di Pyongyang akhir diadakan di Thailand. Keputusan itu juga menyaksikan Malaysia terlepas peluang beraksi di laman sendiri pada pertemuan kedua dengan Korea Utara.

"Dengan situasi sekarang mungkin ada baiknya untuk skuad kebangsaan bermain di luar dan bukan di gelanggang sendiri. Ada kalanya bermain di tempat sendiri memberi tekanan kepada pemain lebih-lebih lagi dengan prestasi kurang baik ketika ini," kata Serbegeth yang turut dikenali dengan nama panggilan Shebby.

Dalam saingan Kumpulan B kelayakan Piala Asia 2019, Malaysia kini menduduki tangga tercorot selepas hanya mengumpul satu mata selepas tiga perlawanan.

Berita Harian X