Jumaat, 27 Oktober 2017 | 6:00pm
PEMAIN dan pegawai pasukan JDT tidak akan menerima bonus selepas mereka sudah menerima imbuhan besar ketika menjuarai Liga Super buat kali keempat berturut-turut. NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

Tiada bonus buat JDT

KUALA LUMPUR: Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak akan menghadiahkan sebarang insentif kepada skuad kendalian Ulisses Morais sekiranya mereka muncul juara Piala Malaysia dengan menewaskan Kedah pada final di Stadium Shah Alam, 4 November ini.

Menerusi entri terbaru di laman Facebook rasmi JDT, Johor Southern Tigers (JST), kelab dari selatan tanah air itu mengumumkan kesemua pemain dan pegawai pasukan tidak akan menerima bonus selepas mereka sudah menerima imbuhan besar ketika menjuarai Liga Super buat kali keempat berturut-turut sebelum ini.

"Kami tidak akan memberi bonus jikalau JDT menjuarai Piala Malaysia tahun ini kerana kami telah mencapai sasaran kami iaitu menjuarai Piala Liga Super.

"Lagipun kami telah memberikan bonus yang besar sebelum ini kepada para pemain kami apabila mereka telah memenangi Liga Super," menurut kenyataan itu di Facebook JST.

Jelasnya, keutamaan skuad Harimau Selatan pada setiap tahun adalah memburu kejuaraan Liga Super dan Piala FA yang menawarkan tempat beraksi di saingan utama kejohanan anjuran Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) seperti Piala AFC dan Liga Juara-Juara Asia (ACL).

"Keutamaan kelab JDT pada setiap tahun adalah liga dan Piala FA untuk beraksi dalam AFC.

"Jadi, ini adalah matlamat utama dan polisi kelab JDT. Selain itu ia adalah keperluan buat kita untuk penaja-penaja besar kami yang mana mereka mahu mempromosikan nama mereka bukan sahaja dalam negara tetapi juga di luar negara.

"Apa pun, matlamat kami pada tahun ini telah tercapai iaitu untuk menjadi juara liga dan ia adalah sasaran kami untuk setiap tahun," tambah kenyataan itu.

128 dibaca
Berita Harian X