Jumaat, 27 Oktober 2017 | 3:03pm
PENGURUS Manchester United, Jose Mourinho (kiri) menyalahkan pemainnya kerana "tingkah laku yang buruk" selepas kekalahan berdepan Huddersfield pada aksi Liga Perdana Inggeris, kelmarin. - Foto REUTERS

United, Tottenham tak boleh tewas

MANCHESTER, United Kingdom: Kekalahan bukan pilihan buat Jose Mourinho atau Mauricio Pochettino ketika pasukan kendalian masing-masing cuba mengejar pendahulu Manchester City dalam pemburuan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL).

Skuad kendalian Mourinho, Manchester United dan Pochettino, Tottenham Hotspur akan memulakan hujung minggu ini lima mata di belakang City ketika mereka terpaksa berdepan sesama sendiri di Old Trafford pada sepak mula lebih awal, esok.

United tampak sudah hilang sedikit sengat sejak dua minggu lalu berikutan seri tanpa jaringan berdepan Liverpool sebelum mengalami kekalahan pertama dalam liga musim ini, Sabtu lalu ketika Huddersfield Town menewaskan mereka 2-1.

Mourinho, yang menyalahkan pemainnya kerana "tingkah laku yang buruk" selepas kekalahan berdepan Huddersfield, melakukan tujuh perubahan bagi saingan pusingan keempat Piala Liga, awal pagi Rabu lalu berdepan pasukan Liga Perdana, Swansea dan mencipta kemenangan 2-0.

Sebahagian besar pemain yang tidak beraksi dalam kesebelasan utama dijangka kembali ketika berdepan Spurs, antaranya Romelu Lukaku, yang bergelut mendapatkan kembali prestasinya apabila kemarau gol dalam empat aksi selepas menjaringkan 11 gol daripada 10 perlawanan pertamanya buat United.

Mourinho tampak boleh mendapat kembali sebahagian pemain yang cedera walaupun dia masih belum tahu bila pemain tengah Perancis, Paul Pogba akan bersedia untuk kembali daripada kecederaan hamstring yang dialami, 12 September lalu.

Phil Jones, yang dikeluarkan ketika berdepan Huddersfield kerana ketegangan paha, antara pemain yang diletakkan di bangku simpanan berdepan Swansea, dan akan cergas manakala rakan di pertahanan tengah, Eric Bailly juga semakin hampir boleh digunakan selepas cedera pangkal paha ketika bersama Ivory Coast, awal bulan ini.

Marouane Fellaini masih dalam pemulihan ketegangan ligamen lutut, manakala pemain tengah Michael Carrick masih cedera.

United sudah menang semua empat pertemuan di laman sendiri musim ini, menjaringkan 14 gol dan tidak melepaskan sebarang gol dan Mourinho mahu meneruskan rentak itu.

Pemain tengah Ander Herrera berkata: "Tottenham adalah pencabar utama setiap musim. Pada dua atau tiga tahun sebelum ini, mereka banyak meningkat dan mereka pencabar untuk apa saja; Liga Juara-Juara, Liga Perdana dan kedua-dua saingan piala.

"Ia akan menjadi sesuatu yang hebat jika kami mengalahkan mereka."

Skuad kendalian Pochettino sepatutnya ke Manchester dengan penuh keyakinan berikutan kemenangan bergaya 4-1 mengatasi Liverpool, minggu lalu. - AFP

36 dibaca
Berita Harian X