Jumaat, 27 Oktober 2017 | 8:15am
PENGURUS Arsenal, Arsene Wenger mahu memenangi trofi bersama The Gunners. - Foto REUTERS

Wenger akui lebih ghairah julang trofi

LONDON: Pengurus Arsenal, Arsene Wenger menegaskan kemahuannya memenangi trofi bersama The Gunners "lebih besar daripada sebelumnya", walaupun mengakui prestasinya akan dinilai selepas ini.

Wenger berdepan tekanan musim lalu ketika Arsenal gagal layak ke Liga Juara-Juara dan ramai penyokong menyuarakan keinginan supaya dia meninggalkan kelab itu selepas 21 tahun.

Namun, pengurus veteran kelahiran Perancis itu menandatangani kontrak baharu dua tahun selepas kejayaan Arsenal pada Piala FA mengatasi pencabar dari London, Chelsea.

Bagaimanapun, kekalahan dalam Liga Perdana kepada Liverpool, Stoke dan Watford musim ini mewujudkan kembali persoalan mengenai posisi pengendali berusia 68 tahun itu.

Tetapi kemenangan 5-2 mengatasi Everton Ahad lalu seterusnya mara ke suku akhir Piala Liga dan rekod sempurna dalam aksi Liga Europa mula membuatkan penyokong kurang marah kepada Wenger dan lembaga pengarah Arsenal diketuai ahli perniagaan Amerika Syarikat, Stan Kroenke.

"Saya mesti memberitahu anda, kemahuan, komitmen saya lebih besar daripada sebelumnya," kata Wenger ketika memberitahu pemegang saham Arsenal ketika mesyuarat agung tahunan kelab itu di Stadium Emirates, hari ini.

"Tetapi saya menerimanya kerana apabila anda berada di kelab itu untuk tempoh yang lama, semua orang akan mempersoalkannya. Saya banyak mempersoalkan diri saya sendiri, jangan bimbang, ia membuatkan saya menjadi lebih baik setiap hari.

"Dan saya akan berjumpa dengan lembaga pengarah setiap tahun untuk melihat ke mana saya akan pergi dari situ."

Wenger yang diminta menjelaskan dengan lebih terperinci mengenai kenyataannya dalam sidang akhbar berkata: "Saya sudah berada 21 tahun di kelab ini dan saya mahu merasakan saya sudah melakukan yang bagus, dan melihat apa yang lembaga pengarah rasakan mengenai persembahan saya.

"Selepas itu, kami akan membuat keputusan di mana saya akan pergi dari situ. Tetapi sudah tentu keinginan saya ialah sentiasa memberi penghormatan terhadap kontrak saya." - AFP

Berita Harian X