Jumaat, 27 Oktober 2017 | 7:30am
PENGURUS Liverpool, Juergen Klopp menggesa pemainnya memberi tindak balas selepas dimalukan Tottenham 4-1 Ahad lalu. - Foto EPA-EFE

Klopp tuntut tindak balas anak buah

LIVERPOOL: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menggesa pemainnya memberi tindak balas selepas dimalukan Tottenham 4-1 Ahad lalu, selain menegaskan dia sentiasa berada di belakang penjaga gol Simon Mignolet dan pertahanan Dejan Lovren.

Klopp bagaimanapun enggan mengesahkan nasib kedua-dua pemain itu bagi aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) berdepan Huddersfield esok, sambil berharap mereka tidak menghiraukan kritikan penyokong.

Lovren ditukarkan pada minit ke-31 ketika pertemuan menentang Spurs, sehingga membawa kritikan pedas berikutan persembahan buruknya, namun Klopp menasihati pertahanan Croatia itu untuk memekakkan telinga.

"Itulah dunia masa kini," kata pengendali kelahiran Jerman itu. "Jika kita temui seseorang membuat kesilapan, pastinya kita akan mengkritiknya habis-habisan. Tetapi jika kita sendiri yang melakukan kesilapan, kita berharap orang lain tidak menyedarinya.

"Sudah tentu, saya tidak akan membiarkan mereka terus terkesan. Sesekali tidak. Saya berharap mereka cukup bijak untuk membacanya (kritikan) kerana ia begitu penting," tambahnya.

"Saya berusia 50 tahun, jadi fikiran saya agak jelas. Kerana ia tidak masuk akal untuk saya membaca pendapat peribadi orang yang tidak tahu mengenai bola sepak terhadap saya.

"Untuk pemain saya, lebih baik mereka melakukan tindakan sama. Tetapi ia bukannya masalah besar."

Klopp berkata Liverpool perlu melakukan perubahan susulan kekalahan di Wembley itu yang meninggalkan The Reds di tangga kesembilan dan 12 mata di belakang pendahulu Manchester City. - REUTERS

Berita Harian X