Khamis, 26 Oktober 2017 | 11:51am
PENYERANG West Ham United, Andre Ayew meraikan gol kedua jaringannya ketika menentang Tottenham pada aksi pusingan keempat Piala Liga di Stadium Wembley, awal pagi tadi. Foto Reuters

Tewaskan Spurs, Bilic tarik nafas lega

LONDON: Masa depan pengurus West Ham United, Slaven Bilic menjadi subjek spekulasi selepas kekalahan 3-0 kepada Brighton dalam saingan Liga Perdana Inggeris, tetapi diberi talian hayat selepas pasukannya bangkit membenam Tottenham Hotspur 3-2 dalam aksi Piala Liga, awal pagi tadi.

Ketinggalan 2-0 menuju rehat, The Hammers menampilkan kebangkitan luar biasa untuk menempah slot ke suku akhir.

"Motivasi pemain begitu rendah di separuh masa tetapi tidaklah serendah ketika tewas kepada Brighton. Kami jarang sekali menyelinap masuk ke dalam kawasan Spurs dan di bahagian ketiga padang," kata Bilic.


PEMAIN Tottenham, Moussa Sissoko (kanan) mengekang pemain West Ham United, Manuel Lanzini pada aksi Piala Liga di Stadium Wembley, awal pagi tadi. - Foto Reuters

"Tetapi selepas bercakap mengenai apa yang perlu dilakukan apabila mereka dan kami memegang bola, pemain memberi reaksi balas yang baik dengan menjaringkan tiga gol ke atas lawan yang belum pernah bolos."

Bilic bagaimanapun mengenepikan pendapat bahawa pemain beraksi untuknya.


PENGENDALI West Ham, Slaven Bilic berkata sesuatu kepada Edimilson Fernandes dan Aaron Cresswell. - Foto Reuters

"Saya sentiasa tenang dan gembira apabila kami menang dengan cara sebegini. Permainan pasukan begitu positif dan pemain juga membuktikan mereka liat untuk ditewaskan," katanya.

Andre Ayew muncul penyelamat apabila kembali memastikan West Ham mengikat aksi 2-2 sebelum pertahanan Angelo Ogbanna menjaringkan gol tandukan kemenangan buat pasukan pelawat.

Dua jaringan Spurs pula dihasilkan oleh Moussa Sissoko dan Dele Alli.


PENYERANG West Ham, Andy Carroll (kiri) diasak dua pemain Tottenham, Ben Davies (kanan) dan Eric Dier pada aksi pusingan keempat Piala Liga di Stadium Wembley, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Selepas melihat persembahan memberangsangkan daripada pemain yang tidak berada dalam kesebelasan utama, Bilic harus pening kepala untuk memilih barisan pemain berdepan Crystal Palace, Sabtu ini. - AFP


SEBAHAGIAN penyokong West Ham, bersorak gembira selepas berjaya benam Tottenham di Stadium Wembley, awal pagi tadi.. - Foto Reuters

Berita Harian X