Selasa, 24 Oktober 2017 | 8:43pm
KETUA jurulatih pasukan Harimau Malaya, Nelo Vingada lebih optimis selepas keputusan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memutuskan kedua-dua aksi kelayakan Piala Asia 2019 menentang Korea Utara dilangsungkan di Thailand pada 10 dan 13 November ini. - Foto Asyraf Hamzah

Vingada sambut baik keputusan AFC

KUALA LUMPUR: Jurulatih skuad kebangsaan, Nelo Vingada kini lebih optimis susulan keputusan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memutuskan kedua-dua perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 menentang Korea Utara dilangsungkan di Thailand pada 10 dan 13 November ini.

Malaysia yang berada di kedudukan terakhir Kumpulan B dengan satu mata daripada tiga perlawanan, namun keputusan positif menentang Korea Utara akan menyalakan semula peluang Harimau Malaya mendapat tempat ke Final Piala Asia 2019 di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Lubnan selesa mendahului kumpulan dengan 10 mata, perbezaan lima mata di depan pasukan tempat kedua, Hong Kong sementara Korea Utara berada di tempat ketiga dengan dua mata.

Dalam kenyataan hari ini, AFC mengumumkan penangguhan perlawanan pertama Kumpulan B antara Korea Utara dengan Malaysia akan dijalankan di Thailand pada 10 November ini, manakala aksi kedua di mana Malaysia menjadi tuan rumah, juga akan diadakan di Thailand tiga hari selepas itu.

"Saya tak mahu katakan sama ada bermain di Thailand akan menjadi kelebihan buat Malaysia tetapi yang pastinya ia menjimatkan masa perjalanan (buat perlawanan pertama). Cuaca di Thailand juga lebih kurang sama dengan kita berbanding di Pyongyang, yang kini sejuk," kata Vingada.

"Perubahan venue memberikan kami lebih peluang untuk mengutip mata dalam perlawanan di Thailand. Tetapi sudah pasti, kami akan menjadi tuan rumah di venue yang sama.

"Saya yakin kami mempunyai 50 peratus peluang untuk keputusan yang baik, tetapi ia akan menjadi sengit di mana hanya ada tiga hari rehat di antara kedua-dua perlawanan.

"Ia juga akan menjadi masalah jika pemain kita cedera pada perlawanan pertama," katanya.

Perlawanan pertama antara Korea Utara dan Malaysia sepatutnya berlangsung di Pyongyang, Mac lalu sebelum ditunda tiga kali kali susulan masalah keselamatan.

Berita Harian X