Selasa, 24 Oktober 2017 | 1:22pm
PENGENDALI Arsenal, Arsene Wenger (kanan) mempunyai banyak pilihan di bahagian serangan. - Foto Reuters

Wenger mewah gandingan penyerang

LONDON: Pengurus Arsenal, Arsene Wenger mempunyai banyak pilihan di bahagian serangan yang diharap akan membolehkan The Gunners bersaing dalam semua pertandingan musim ini.

Alexis Sanchez, Alexandre Lacazette dan Mesut Ozil digandingkan pertama kali ketika menewaskan Everton 5-2, Ahad lalu, manakala Olivier Giroud, The Walcott dan Jack Wilshere di bangku simpanan.

Dengan Arsenal mempersiapkan diri untuk aksi pusingan keempat Piala Liga menentang Norwich City awal pagi esok, Wenger berkata lambakan bakat dalam skuadnya membolehkan dia menggilirkan barisan depan tanpa pengurangan kualiti.

"Inilah kebebasan saya ada ketika ini dan pada masa sama juga ia memberi kesukaran," kata Wenger. "Semua pemain ini beraksi baik dan berhak untuk diturunkan.

"Nasib baik kita mempunyai aksi yang penting setiap minggu, jadi mereka perlu bersaing antara satu sama lain. Kini ia menjadi kekuatan utama kelab ini."

Jentera serangan Arsenal turut bakal diperkuatkan semula dengan kehadiran penyerang Danny Welbeck dan Santi Cazorla (tengah) yang baru kembali daripada kecederaan.

Selepas dua dekad di Arsenal, pengendali dari Perancis itu belum pernah memenangi Piala Liga tetapi dia percaya segala-galanya tidak mustahil dengan kekuatan skuad yang ada. - REUTERS

Berita Harian X