Ahad, 22 Oktober 2017 | 11:15pm
PEMAIN tengah Arsenal, Mesut Ozil (dua dari kanan) meraikan gol ketiga jaringannya ketika menentang Everton pada saingan Liga Perdana Inggeris di Goodison Park, sebentar tadi. - Foto Reuters

Arsenal bedil Everton

LIVERPOOL: Everton terperosok ke zon penyingkiran selepas Arsenal bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk membenam mereka 5-2, pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Goodison Park, sebentar tadi.

Tuan rumah bermula dengan baik apabila Wayne Rooney membuka jaringan pada minit ke-12 - jaringan yang tiba 15 tahun selepas pemain itu meledak gol menentang lawan sama ketika dia berusia 16 tahun.

Meskipun ketinggalan, Arsenal menguasai permainan dengan melakukan 17 percubaan ke gawang gol dan Nacho Monreal mengikat kedudukan lima minit sebelum tamat babak pertama.


PENYERANG Everton Wayne Rooney (kiri) meledak pertama Everton ketika menentang Arsenal di Goodison Park, sebentar tadi. - Foto AFP

Arsenal terus memburu gol kedua dan usaha mereka berhasil apabila Mesut Ozil meletakkan The Gunners di hadapan pada minit ke-53.

Nasib malang menimpa Everton apabila mereka terpaksa beraksi dengan 10 pemain susulan Idrissa Gueye diarahkan keluar padang kerana menerima kad kuning kedua.

Kesempatan itu digunakan Arsenal untuk menambah jaringan menerusi Alexandre Lacazette pada minit ke-74.

Dua gol lewat permainan dijaringkan Aaron Ramsey dan Alexis Sanchez manakala Oumar Niasse menghadiahkan gol sagu hati buat Everton. - Reuters

Berita Harian X