Sabtu, 21 Oktober 2017 | 11:25pm
PEMAIN JDT, Ganzalo Gabriel Cabrera (no 11) meraikan gol ketiga ledakannya bersama rakan sepasukan pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia 2017 menentang Perak di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi. - Foto Mohd Azren Jamaludin

JDT bergaya ke final Piala Malaysia

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta'zim (JDT) melangkah ke final Piala Malaysia dengan bergaya selepas mudah meratah Perak 3-0 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan JDT mara dengan agregat 4-1, sekali gus menempah pertemuan menarik dengan juara bertahan, Kedah di final yang dijadualkan pada 4 November ini.


PENYERANG JDT, Gabriel Miguel Guerra (dua dari kiri) diasak pemain pertahanan Perak, Nazirul Naim Che Hashim (tiga dari kanan) pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia 2017 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Ia adalah kali kedua JDT mara ke pentas final Piala Malaysia selepas dikecewakan Pahang 5-3 menerusi penentuan penalti pada musim 2014.

Bagi Perak pula, kekalahan itu menyaksikan impian mereka untuk mara ke final piala berprestij selepas 10 tahun tidak kesampaian.

Pada perlawanan sebentar tadi, persembahan seimbang dipamerkan JDT dan Perak di awal permainan dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.


PEMAIN sayap JDT, S Kunanlan (kiri) dihalang pemain Perak, Ahmad Khairil Anuar (tiga dari kanan) pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia 2017 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Percubaan terbaik JDT hanya hadir pada minit ke-30, menerusi rembatan deras Gabriel Guerra yang berjaya diselamatkan penjaga gol, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.

Enam minit kemudian, giliran Perak pula menguji kubu tuan rumah yang menyaksikan percubaan jarak jauh Shahrul Saad hanya sedikit melepasi palang gol.

Perlawanan terus rancak dengan Hafizul sekali lagi muncul penyelamat The Bos Gaurus pada minit ke-40 apabila berjaya menepis keluar bola sepakan gunting Fadhli Shas di dalam kota penalti.

Bersambung babak kedua, Gonzalo Cabrera akhirnya mencetuskan sorakan lebih 28,000 penyokong tuan rumah selepas menyempurnakan bola hantaran Gabriel Guerra pada minit ke-57.

Guerra meletakkan tuan selesa mendahului apabila meledak gol kedua pada minit ke-74 hasil umpanan Afiq Fazail.

Percaturan Ulisses Morais menggantikan Darren Lok dengan Mohammed Ghaddar terus berhasil apabila pemain kebangsaan itu membantu jaringan ketiga Gonzalo Cabrera pada minit ke-80.

Perak dilihat cuba bangkit pada penghujung permainan, namun gagal menembusi gawang JDT yang dikawal Izham Tarmizi Roslan.

Berita Harian X