Jumaat, 20 Oktober 2017 | 6:14pm
SETIAUSAHA Agungnya Datuk Windsor Paul John yakin lokasi perlawanan akan dapat diselesaikan selewat-lewatnya minggu depan. - Foto Osman Adnan

Aksi Malaysia, Korea Utara di gelanggang berkecuali

KUALA LUMPUR: Aksi kelayakan Piala Asia 2019 antara Korea Utara dan Malaysia yang tertangguh tiga kali ekoran situasi semasa di Pyongyang yang tidak selamat menyaksikan pertembungan itu bakal diadakan di gelanggang berkecuali, bulan depan.

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dalam kenyataan hari ini berkata, tarikh bagi dua aksi kumpulan B itu ditetapkan pada 10 November ini dengan Korea Utara terlebih dahulu tampil sebagai tuan rumah diikuti Malaysia tiga hari kemudian.

Bagaimanapun, lokasi gelanggang berkecuali itu masih belum dimuktamadkan dengan Setiausaha Agungnya Datuk Windsor Paul John yakin ia akan dapat diselesaikan selewat-lewatnya minggu depan.

"Perlawanan ini sudah tertangguh sebanyak tiga kali kerana ketegangan politik antara Malaysia dan Korea Utara selain larangan oleh Kerajaan Malaysia ke atas warganya berkunjung ke negara berkenaan.

"Bagi menjaga dan menjamin keadilan, diputuskan bahawa kedua-dua aksi akan dilangsungkan di venue berkecuali dengan aksi pertama menyaksikan Korea Utara sebagai tuan rumah dan Malaysia pada aksi kedua.

"Kami gembira kerana kedua-dua Persatuan Ahli (Persatuan Bola Sepak Malaysia dan Persatuan Bola Sepak Korea Utara) sudah bersetuju dengan keputusan ini demi semangat kesukanan yang tinggi," katanya.

Sebelum ini, aksi di Stadium Kim Il-sung di ibu negara Pyongyang itu terpaksa ditangguhkan buat kali ketiga pada 10 Oktober lalu selepas kerajaan Malaysia mengeluarkan sekatan perjalanan ke republik itu.

Untuk rekod, Malaysia membuka kempen kelayakan dengan kekalahan 1-2 kepada Lubnan pada 13 Jun di Stadium Larkin sebelum terikat 1-1 menentang Hong Kong pada 5 September di Stadium Hang Jebat.

Rentak sumbang terus diperagakan dalam aksi ketiga di Hong Kong apabila tewas 0-2 untuk menduduki tangga tercorot kumpulan dengan satu mata.

Lubnan kini berada di kedudukan teratas diikuti Korea Utara di tempat kedua manakala Hong Kong mengisi posisi ketiga dengan Malaysia wajib memenangi baki saingan untuk merebut dua tiket terbaik ke pusingan akhir tahun depan.

Berita Harian X