Sabtu, 14 Oktober 2017 | 2:27pm
PENGURUS Manchester United, Jose Mourinho akan memanfaatkan suasana di Anfield ketika kunjungan ke Liverpool, malam ini dengan sambutan 'keras' yang diterima daripada penyokong tuan rumah. - Foto AGENSI

Mourinho tak sabar berdepan 'sambutan keras' penyokong Liverpool

LONDON: Manchester United akan memanfaatkan suasana di Anfield ketika kunjungan ke Liverpool, malam ini dengan sambutan 'keras' yang diterima daripada penyokong tuan rumah dianggap motivasi tambahan, kata Jose Mourinho.

United mengharungi kempen cukup baik dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dan menghuni tangga kedua liga di belakang pendahulu, Manchester City dengan dua seteru tetangga ini dibezakan dengan jumlah jaringan.

Mourinho tahu pasukannya tidak boleh mengharapkan sambutan yang baik diterima mereka di Anfield namun yakin skuad bimbingannya mampu mengharunginya.

"Perkara ini agak lucu bagi saya kerana apabila orang bercakap mengenai suasana yang besar ia nampak seperti kami tidak menggemarinya," kata pengendali kelahiran Portugal itu.

"Ia nampak seperti masalah besar bagi kami untuk pergi ke sesetengah tempat dan berdepan dengan suasana yang sukar. Tetapi inilah yang kami mahukan. Saya terkejut apabila kamu bercakap mengenainya seolah-olah ia perkara yang negatif.

"Saya akan lebih terkejut apabila melihat beberapa bekas pemain ternama bercakap mengenai suasana seperti ini seakan ia amat jahat dan membimbangkan kami.

"Ia memberikan kami motivasi. Ia sesuatu yang kami mahukan. Ia sesuatu yang kami mahukan dalam setiap perlawanan dan kami akan memperolehnya dalam setiap perlawanan."

Bekas pengurus Chelsea itu menggunakan contoh perlawanan La Liga membabitkan Barcelona menentang Las Palmas pada 1 Oktober lalu.

Ketika itu, Barca terpaksa bermain di stadium tertutup susulan pertempuran di antara polis dan pengundi di Catalonia berikutan pertelingkahan membabitkan referendum kemerdekaan.

"Apabila Barcelona bermain menentang Las Palmas di stadium yang kosong, adakah kamu fikir pemain-pemain gembira?," kata Mourinho yang pernah membimbing Real Madrid.

"Adakah kamu berfikir yang pemain-pemain Las Palmas lebih suka bermain di Nou Camp yang penuh dengan suasana hebat?

"Kami pergi untuk bermain menentang pasukan yang besar dengan tradisi yang besar di stadium yang menakjubkan. Kami tahu sejarah yang peminat-peminat mempunyai permusuhan yang besar terhadap Manchester United tetapi inilah yang kami mahukan.

"Jadi kami amat gembira dengan karier kami untuk mendapat satu lagi peluang bermain dalam situasi indah seperti ini. Sungguh menarik untuk bermain di Anfield. Cantik," katanya.

United masih belum tewas dalam aksi liga musim ini dengan mencatat enam kemenangan serta satu seri ketika Liverpool yang dikendalikan Juergen Klopp menghuni tangga ketujuh liga dengan tiga kemenangan, tiga seri dan satu kalah.

Begitupun, Mourinho tetap menganggap kedua-dua pasukan sebagai setara. - Reuters

Berita Harian X