Rabu, 11 Oktober 2017 | 8:33pm
LEGENDA bola sepak negara, Ramli Junit berharap pemain dapat mengawal emosi bila berhadapan dengan tekanan dan boleh jejas kekuatan pasukan.

Pemain perlu bijak kawal emosi: Ramli Junit

MELAKA: Pemain negara perlu lebih bijak mengawal emosi ketika beraksi bagi mengelak sebarang hukuman terutamanya kad merah yang akan menjejaskan kekuatan pasukan seperti yang berlaku ketika Malaysia tumbang kepada Hong Kong, malam tadi.

Bekas pemain bola sepak negara, Ramli Junit ketika mengulas insiden Safiq Rahim dilayangkan kad merah berkata, apabila beraksi dengan 10 pemain, ia merugikan pasukan kerana perlu bersaing dengan 11 pemain lawan, sekali gus menjejaskan perancangan jurulatih. 

Katanya, kawalan emosi yang efektif amat diperlukan oleh setiap pemain selain mereka perlu memahami undang-undang perlawanan dan mengamalkan permainan bersih.

"Bagi saya, pemain di Liga Malaysia perlu mengikuti kursus undang-undang permainan, walaupun mereka sudah tahu sekalipun, namun perlu sentiasa diingatkan. Kalau boleh buat ujian objektif atau subjektif serta dimaklumkan maklumat terkini," katanya.

Langkah terbabit mampu mengurangkan gejala kad merah, kecederaan, tindakan luar kawalan serta melindungi pengadil daripada dipersalahkan dan memastikan perjalanan aksi untuk 90 minit berjalan lancar tanpa insiden kekasaran teruk. 

Ramli yang tidak pernah menerima kad merah sepanjang pembabitannya sejak era-70-an bersama Selangor, Melaka dan Skuad Ompik 1980 berkata, sebagai pemain profesional, mereka perlu mengutamakan sikap positif dan saling menghormati.

Baginya, tindakan kapten pasukan, Safiq yang melakukan kesalahan ke atas pemain Hong Kong dalam perlawanan kelayakan Piala Asia 2019, malam tadi seharusnya menjadi pengajaran yang tidak boleh lagi diulangi secara sengaja. 

Pada aksi pertama bertemu Hong Kong di Melaka, pemain pertahanan, Aidil Zafuan Abd Razak juga dilayangkan kad merah selepas membantah dan menolak pengadil dari Australia, Chris Beath yang menganugerahkan sepakan penalti kepada Hong Kong pada minit akhir.

Berita Harian X