Selasa, 10 Oktober 2017 | 10:56pm
KETUA Jurulatih Harimau Malaya, Nelo Vingada akui ketiadaan penyerang punca skuad negara tewas kepada Hong Kong. - Foto Owee Ah Chun

Kalah kerana tiada penyerang: Vingada

"INILAH masalahnya apabila kami kekurangan penyerang untuk dibawa ke sini hingga terpaksa bermain tanpa penyerang," kata pengendali Harimau Malaya, Nelo Vingada selepas menyaksikan anak buahnya tumbang 0-2 di tangan Hong Kong dalam perlawanan ketiga Kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2019, sebentar tadi.

Dua gol tandukan pada setiap babak oleh pemain naturalisasi tuan rumah Jorge Tarres Paramo dan Jaimes McKee dalam aksi di Stadium Hong Kong itu meletakkan skuad kendalian Vingada dalam situasi sukar untuk layak ke pusingan akhir di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

"Macam dapat dilihat malam ini, kami tiada penyerang tulen yang mana kebanyakan pemain sekadar memanaskan bangku simpanan dengan tonggak import menguasai saingan liga (Liga Malaysia).

"Jadi, situasi itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada kami biarpun kalau diikutkan kami mampu meraih sesuatu di sini.

"Namun ia bukan alasan dan saya harap selepas ini persediaan kami akan lebih baik berbanding perlawanan ini," katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Vingada atau digelar 'The Profesor' melakukan rombakan dalam kesebelasan utama dengan menggunakan formasi 4-6-0 tanpa penyerang tulen ekoran kecederaan pangkal paha yang menimpa Darren Lok dua hari sebelum perlawanan.

Walaupun percaturan itu amat asing sekali dan jarang digunakan mana-mana pasukan di dunia ini, bekas jurulatih Arab Saudi itu terpaksa menggunakannya dengan mengharapkan sesuatu daripada situasi bola mati untuk menghasilkan gol.

Mengulas mengenai keputusan pengadil melayangkan kad merah kepada kapten Safiq Rahim pada minit ke-39, beliau tidak menyalahkan pengadil sebaliknya menerima keputusan itu dengan hati terbuka.

"Saya tak nampak kerana insiden itu berlaku di kawasan sebelah Hong Kong. Mungkin Safiq terpijak sedikit tapi saya percaya tiada niat untuk mencederakan.

"Apapun, saya puji pengadil malam ini apabila bertindak tegas sepanjang aksi. Saya ucapkan tahniah kepada tuan rumah atas kemenangan mereka," katanya.

Malaysia akan meneruskan kempen menentang Korea Utara dengan venue dan tarikh perlawanan akan diumumkan AFC selepas ini.

Berita Harian X