Isnin, 9 Oktober 2017 | 9:28pm
PENOLONG kapten Harimau Malaya, Shahrom Kalam (kiri) berharap mutu pengadil untuk aksi esok lebih baik daripada aksi di Stadium Hang Jebat, bulan lalu. - Foto FB FAM

Shahrom harap pengadil tak berat sebelah

HONG KONG: Penolong kapten Harimau Malaya, Shahrom Kalam berharap mutu pengadilan bagi aksi ketiga Kelayakan Piala Asia 2019 berdepan Hong Kong di sini lebih baik daripada aksi kedua di Stadium Hang Jebat, Melaka bulan lalu.

Pada aksi itu, pengadil dari Australia, Christopher Beath melayangkan kad merah kepada dua pertahanan negara Aidil Zafuan Razak dan Rizal Ghazali yang menyaksikan mereka digantung untuk aksi ini.

"Harap pengadil pada perlawanan esok akan lebih baik berbanding di Melaka. Saya yakin jika tidak ada isu pengadilan timbul, keputusan pada hari itu juga mungkin berbeza.

"Bagaimanapun saya tetap gembira dengan keputusan seri tempoh hari kerana sekurang-kurangnya masih mampu meraih mata," katanya ketika ditemui pada sidang media pasukan di Stadium Hong Kong, hari ini.

Malaysia perlu menang bagi mengubati kekecewaan tewas 1-2 kepada Lubnan dalam aksi pertama Kumpulan B di Larkin sebelum terikat 1-1 dengan Hong Kong pada perlawanan kedua.

Dia yang juga kapten Perak dalam saingan liga tempatan turut mengingatkan rakan sepasukan supaya tidak terlalu memikirkan kekuatan lawan yang dikhabarkan akan dibarisi sepenuhnya tonggak naturalisasi.

"Persiapan kami untuk aksi esok amat baik dan semua pemain tahu kepentingan untuk meraih kemenangan dalam perlawanan itu. "Kami bermain demi negara dan seluruh penyokong pastinya mengharapkan keputusan positif. Insya-Allah kemenangan boleh diraih asalkan kami fokus sepanjang aksi," katanya.

Berita Harian X