Sabtu, 7 Oktober 2017 | 11:05pm
PENYERANG muda skuad bawah 22 tahun negara (B-22), Safawi Rasid sedia bermain di bahagian serangan sekiranya diturunkan menentang Hong Kong oleh pengendali negara, Nelo Vingada. - Foto Owee Ah Chun

Safawi sedia galas tugas penyerang kedua

KOWLOON (Hong Kong): Penyerang muda skuad bawah 22 tahun negara (B-22), Safawi Rasid sedia menggalas tugas selaku penyerang kedua di belakang Darren Lok apabila berdepan Hong Kong pada perlawanan ketiga Kumpulan B Kelayakan Kejohanan AFC 2019 di Stadium Hong Kong, Selasa ini.

Safawi berkata, ketiadaan Ahmad Hazwan Bakri dan Muhammad Shahrel Fikri umpama rahmat buatnya untuk mempamerkan 'sengat' tersendiri selepas cemerlang membantu skuad B-22 meraih pingat perak di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 Ogos lalu.

"Saya bersedia bermain di bahagian serangan sekiranya diturunkan. Meskipun ia dilihat satu tanggungjawab berat tapi saya sedia memikulnya. Saya berjanji akan memberikan persembahan terbaik untuk membalas kepercayaan jurulatih.

"Saya akan menggunakan kesempatan ini untuk membuktikan kemampuan sebenar. Saya berharap rakan sepasukan juga dapat menunjukkan prestasi terbaik bagi memastikan kemenangan pertama berjaya diraih," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Pusat Sukan Tseung Kwan O, di sini, hari ini.

Pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu kini menjadi pilihan utama pengendali negara, Nelo Vingada untuk digandingkan bersama Darren selepas Hazwan dan Shahrel diketepikan saat akhir akibat kecederaan.

"Sebagai penyerang semestinya saya mahu menjaringkan gol. Saya yakin kami boleh mengejutkan mereka biarpun Hong Kong dipenuhi dengan pemain naturalisasi," katanya.

Berita Harian X