Sabtu, 7 Oktober 2017 | 8:58pm
JURULATIH Harimau Malaya, Nelo Vingada (dua dari kanan) bersama Kiko Insa pada sesi latihan menjelang aksi kelayakan Piala Asia AFC 2019 menentang Hong Kong, Selasa ini. - Foto Firdaus Hashim

Misi selamatkan Malaysia, selamatkan Vingada

KOWLOON (Hong Kong): Kemenangan ke atas Hong Kong dalam aksi ketiga Kelayakan Piala Asia AFC 2019 bukan sekadar menghidupkan peluang Malaysia merebut dua tempat terbaik Kumpulan B, malah ia juga penting untuk menyelamatkan masa depan pengendali kebangsaan.

Perkara itu diakui sendiri Nelo Vingada selaku pembimbing skuad Harimau Malaya apabila menggesa pemainnya supaya segera menamatkan kemarau kemenangan dengan menjadikan Hong Kong mangsa pertama di Stadium Hong Kong pada, Selasa ini.

Seruan Vingada itu cukup mudah difahami kerana sejak dilantik menggantikan Datuk Ong Kim Swee pada Mei lalu, Malaysia gagal melakar sebarang kemenangan dalam empat aksi sebelum ini.

Skuad negara tewas 1-2 kepada Lubnan dalam aksi sulung Kelayakan Piala Asia AFC 2019 di Johor Bharu dituruti seri 1-1 bertemu Hong Kong di Melaka.

Dua lagi aksi persahabatan menentang Syria dan Myanmar berakhir dengan kekecewaan selepas tumbang 1-2 dan 0-1.

"Tiga kekalahan dan satu seri yang dicatatkan memang sedikit sebanyak menjejaskan motivasi pemain serta diri saya selaku jurulatih.

"Dalam empat aksi berkenaan, pemain sudah memberikan yang terbaik, malah hampir memenangi perlawanan apabila berjaya mendahului lawan, namun kelekaan di penghujung aksi sedikit mengecewakan.

"Bagaimanapun, terdapat beberapa perkara positif yang berlaku dalam pasukan daripada segi permainan.

"Jadi, kemenangan ke atas Hong Kong ini amat penting untuk menaikkan semangat pasukan yang perlu meraih tiga mata bagi membuka semula peluang serta memulihkan reputasi saya sebagai jurulatih," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Pusat Sukan Tseung Kwan O, di sini, hari ini.

Vingada, bekas jurulatih kebangsaan Arab Saudi dan Jordan setakat ini masih mencari kemenangan pertama selepas sekadar meraih satu mata setakat ini.

Keputusan seri dengan Hong Kong meletakkan Malaysia kekal di tangga tercorot kumpulan dan skuad bimbingan Vingada tumbang di tangan pasukan kendalian Kim Pan-Gon, laluan lebih berliku bakal menanti dengan wajib menumbangkan Korea Utara dan Lubnan dalam baki tiga aksi lagi.

Berita Harian X