Rabu, 4 Oktober 2017 | 6:11pm
MELAKA 18 DECEMBER 2016. ( mc1812mahdi ) Pengurus Pasukan Melaka United merangkap Timbalan Presiden Melaka United Soccer Association (MUSA), Datuk Mohd Yusoff Mahadi (kiri) selepas taklimat tertutup bersama wakil ahli-ahli gabungan FAM di Hotel Hatten, Banda Hilir. NSTP/ RASUL AZLI SAMADRASUL AZLI SAMAD

FAM harap AFC pertimbang idea gelanggang berkecuali

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berharap Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dapat mempertimbangkan cadangan supaya aksi Kelayakan Piala Asia 2019 antara Malaysia dan Korea Utara dilangsungkan di gelanggang berkecuali.

Timbalan Presidennya, Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengakui hanya itu sahaja alternatif terbaik terutama selepas mengambil situasi semasa di negara terbabit serta arahan Kementerian Luar yang melarang rakyat Malaysia memasuki Korea Utara.

"Sebenarnya pasukan kebangsaan sudah bersedia untuk ke Pyongyang, jadi tidak timbul isu di mana kita tidak mahu beraksi di sana.

"Namun larangan sudah dikeluarkan (Kementerian Luar), sekaligus menyebabkan FAM tidak mempunyai kuasa untuk menghantar pasukan ke sana.

"Jadi AFC perlu mempertimbangkan perkara ini dan saya melihat gelanggang berkecuali adalah pilihan yang terbaik.

"Apapun, semuanya bergantung kepada Jawatankuasa Pertandingan AFC yang akan bersidang dalam masa terdekat. Namun saya yang juga ahli jawatankuasa itu masih belum menerima sebarang makluman rasmi mengenai persidangan ini," katanya ketika dihubungi BH Sukan, hari ini.

Difahamkan, Mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan AFC itu dijangka akan memutuskan venue untuk aksi Kelayakan Piala Asia 2019 antara Malaysia dan Korea Utara selepas perlawanna itu ditangguh sebanyak tiga kali sebelum ini.

BH Sukan sebelum ini melaporkan ketegangan politik di Korea Utara menyaksikan badan induk bola sepak Asia itu terpaksa menunda perlawanan antara dua negara itu buat kali ketiga, pada 28 September lalu.

Menerusi satu kenyataan media AFC, penangguhan aksi itu dibuat selepas FAM memaklumkan Kementerian Luar melarang rakyat negara ini daripada memasuki negara terbabit.

Pada Mei lalu, AFC menunda aksi jadual asal pada 28 Mac kepada 8 Jun, susulan ketegangan hubungan diplomatik apabila abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam mati dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 13 Februari lalu.

Namun, sekali lagi tarikh aksi pada 8 Jun dipinda kepada 5 Oktober dengan alasan sama. Malaysia diletakkan dalam kumpulan B yang menempatkan Lubnan, Korea Utara dan Hong Kong.

Setakat ini, Malaysia hanya beraksi dua kali - menentang Lubnan dan Hong Kong.

Berita Harian X