Jumaat, 29 September 2017 | 8:44pm
KETUA Jurulatih Harimau Malaya, Nelo Vingada akui penundaan kali ketiga tidak memberi kesan kepada fokus pemain untuk terus mengaum dalam empat baki perlawanan selepas ini. - Foto Rasul Azli Samad

Penundaan tidak ganggu fokus pemain: Vingada

KUALA LUMPUR: Penundaan kali ketiga membabitkan aksi skuad Harimau Malaya dan Korea Utara dalam aksi Kumpulan B Kelayakan Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2019, tidak memberi kesan kepada fokus pemain untuk terus mengaum dalam empat baki perlawanan selepas ini.

Pengendali kebangsaan, Nelo Vingada berkata, keputusan Kementerian Luar yang melarang rakyat negara ini berkunjung ke Pyongyang sebaliknya menguntungkan skuad kendaliannya apabila berdepan Hong Kong pada 10 Oktober ini.

Katanya, daripada dua aksi berturut-turut di tempat lawan yang terpaksa diharungi anak buahnya bermula menentang Korea Utara di Stadium Kim Il-sung, Pyongyang pada Khamis ini, kini fokus pemainnya hanya satu iaitu meraih kemenangan di Stadium Hong Kong nanti.

"Pada mulanya, saya harus memikirkan mengenai dua aksi iaitu bertemu Korea Utara dan Hong Kong secara serentak di mana kami akan beraksi di gelanggang lawan.

"Namun selepas perintah larangan oleh kerajaan Malaysia dan dipersetujui AFC, fokus kami kini lebih terarah untuk persiapan menghadapi Hong Kong yang saya kira antara pencabar terkuat kami dalam peringkat kumpulan ini.

"Ia, saya percaya apabila pemain hadir menjalani latihan pusat pada Rabu ini, tumpuan dan fokus mereka lebih baik dengan segala input yang akan saya berikan dalam latihan mengenai Hong Kong saja.

"Apapun, kemenangan ke atas Hong Kong cukup penting dan wajib di bawa pulang sebelum kami meneruskan baki saingan menentang Lubnan dan Korea Utara," katanya semalam.

Semalam, aksi di antara Malaysia dan Korea Utara ditangguhkan buat kali ketiga selepas Kementerian Luar melarang rakyat Malaysia mengunjungi republik itu ekoran ketegangan memuncak berhubung ujian peluru berpandu di Semenanjung Korea ketika ini.

AFC yang menerima keputusan berkenaan mengesahkan ia akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan AFC bagi menentukan tarikh baru serta penetapan venue yang akan diputuskan dalam waktu terdekat.

"Berdasarkan jadual asal, kami akan menentang Korea Utara di Kuala Lumpur pada 14 November dan Lubnan pada 27 Mac tahun depan. Terserah kepada AFC untuk menentukannya, tugas kami hanya mahu meraih mata dalam aksi berikutnya," katanya.

Skuad negara sebelum ini membuka kempen kelayakan dengan kekalahan 1-2 kepada Lubnan pada 13 Jun di Stadium Larkin sebelum terikat 1-1 menentang Hong Kong pada 5 September lalu di Stadium Hang Jebat.

Malaysia ketika ini berada di tangga tercorot kumpulan dengan satu mata dan wajib meraih mata penuh apabila bertemu Hong Kong bagi menghidupkan peluang untuk mara ke pusingan akhir di Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang dijadualkan bermula 5 Januari hingga 1 Februari 2019.

Berita Harian X