Khamis, 28 September 2017 | 6:22pm
KAPTEN Harimau Malaya, Safiq Rahim (dua dari kiri) menjalani latihan bersama rakan sepasukan bagi persiapan menentang Hong Kong pada 10 Oktober ini. - Foto Khairunisah Lokman

Alih fokus ke Hong Kong - FAM

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya terpaksa mengalihkan fokus kepada aksi berdepan Hong Kong pada 10 Oktober ini selepas Konfederasi Bola Sepak Asia sekali lagi menunda perlawanan menentang Korea Utara yang sepatutnya berlangsung di Pyongyang, Khamis ini.

Penundaan aksi Kumpulan B berdepan Korea Utara itu dilakukan selepas mendapat arahan terbaharu larangan perjalanan ke Korea Utara daripada Kerajaan Malaysia.

Susulan daripada itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan penundaan kem latihan pusat skuad negara yang sepatutnya bermula esok kepada Rabu ini.

"Berdasarkan perkembangan terbaharu ini, kem latihan pusat skuad kebangsaan hanya akan bermula pada Rabu di Wisma FAM, Kelana Jaya bagi menghadapi satu lagi perlawanan Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Hong Kong di Stadium Hong Kong pada 10 Oktober nanti," kata Hamidin dalam satu kenyataan, petang ini.

Ia adalah kali ketiga AFC terpaksa menunda aksi kedua-dua pasukan itu kerana masalah ketegangan politik yang melanda Korea Utara.

Pada asalnya pertemuan Malaysia dan Korea Utara dijadualkan berlangsung pada 28 Mac di Stadium Kim Il-Sung sebelum ditunda kepada 8 Jun, dan tarikh itu sekali lagi ditunda kepada 5 Oktober kerana masalah sama.

Menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan AFC, semalam, penangguhan aksi terbabit dibuat selepas FAM memaklumkan Kementerian Luar Malaysia melarang rakyat negara ini daripada memasuki negara terbabit.

Selain itu, menerusi kenyataan sama, Hamidin menjelaskan segala perkembangan lanjut mengenai status aksi berdepan Korea Utara akan dimaklumkan kemudian oleh AFC.

Berita Harian X