Rabu, 27 September 2017 | 11:11pm
PEMAIN Kelantan, Muhammad Danial Ashraf (dua dari kanan) dihimpit dua pemain pertahanan pasukan PKNS FC, Sivakumar Munusamy (kanan) dan Gunalan Padathan pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu. - Foto Syamsi Suhaimi

Kelantan sekadar seri di laman sendiri

KOTA BHARU: Kelantan gagal menghidupkan kembali peluang kekal dalam saingan Liga Super apabila sekadar seri 0-0 dengan PKNS FC di Stadium Sultan Muhammad Ke IV, sebentar tadi.

Kelantan yang turun selaku tuan rumah terlebih dulu menguji pintu gawang pelawat menerusi rembatan dari luar kotak penalti, Mohd Badhri Radzi pada minit ke- 9 dan Indra Putra Mahayuddin minit ke-11.

PKNS FC hampir membuka jaringan pada minit ke-18 menerusi Mohd Safee Sali yang menyambar bola hasil kesilapan pertahanan tuan rumah, Mohd Daudsu Jamaludin namun diselamatkan penjaga tuan rumah, Khairul Fahmi Che Mat.

PKNS FC hampir menghasilkan jaringan pendahuluan menerusi sepakan jarak jauh, K Gurusamy pada minit ke-26 namun palang gol menjadi penghalang.

Pada minit ke-31, hantaran lintang Fabio Miguel gagal disudahkan Patrik Ronaldinho Wleh dan Pak Kwangil walaupun hanya berdepan penjaga gol tuan rumah.

PKNS FC memiliki peluang terhidang mendahului tuan rumah minit ke-43 hasil hantaran lintang Fabio Miguel namun tandukan Safee Sali ditepis keluar Khairul Fahmi Che Mat.Kedudukan kekal 0-0 sehingga tamat separuh pertama.

Bersambung babak kedua, Khairul Izuan Rosli terlepas peluang terhidang menjaringkan gol apabila sepakannya sedikit melepasi gawang gol minit ke-57.

Zahasmi Ismail melakukan tiga pertukaran menggantikan Abou Bakr Mel, Faizol Nazlin Sayuti, dan Daudsu Jamaludin dengan Mohd Norfarhan Mohamad, Hasmizan Kamarodin dan Alesandro Padovani Celin untuk memperkemaskan jentera serangan tuan rumah.

Pemain import kelahiran Brazil, Alesandro Celin hampir menjaringkan gol pendahuluan minit 79 namun rembatan deras dari luar kotak penalti sedikit tersasar.

Keputusan kekal 0-0 sehingga tamat permainan.

Kelantan bakal menamatkan saingan musim ini bertemu Melaka United (MU) di gelanggang lawan 28 Oktober depan.

Berita Harian X