Rabu, 27 September 2017 | 10:27pm
KETUA Pasukan JDT, Aidil Zaquan boleh mengemukakan rayuan terhadap penggantungan empat perlawanan dan denda RM21,000 yang dikenakan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC). - Foto Mohd Azren Jamaludin

Aidil boleh rayu hukuman - AFC

KUALA LUMPUR: Pertahanan kebangsaan, Aidil Zafuan Abdul Radzak mampu menarik nafas lega selepas dia boleh mengemukakan rayuan terhadap penggantungan empat perlawanan dan denda RM21,000 yang dikenakan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Perkembangan itu disahkan oleh Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John yang menyatakan semua keputusan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Disiplin dan Etika AFC boleh dirayu dalam tempoh 10 hari daripada tarikh keputusan dikeluarkan.

"Jika Aidil mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan, mereka ada tiga pilihan yang boleh diambil sama ada mengekalkan hukuman, meringankan hukuman ataupun menambah lagi hukuman ke atas yang sedia ada.

"Apapun, semuanya bergantung kepada Aidil sendiri untuk mengemukakan rayuan," katanya ketika dihubungi BH Sukan, hari ini.

BH Sukan semalam melaporkan menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Disiplin dan Etika AFC kelmarin, pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT) itu dikenakan penggantungan empat perlawanan dan denda RM21,000 mengikut peruntukan dalam Artikel 50 Kod Disiplin dan Etika AFC atas kesalahan mencemarkan permainan.

Kenyataan itu menyebut defendan diarah untuk meninggalkan padang pada minit kedua masa tambahan di separuh masa kedua, namun tetap berada dalam kawasan permainan selama dua minit 30 saat ketika dia sepatutnya sudah beredar.

Malah, dia turut menggunakan kata-kata yang tidak sepatutnya dan menghina sebelum turut bersemuka dengan pengadil selain cuba bertindak agresif dengan mengeluarkan kata-kata sama kepada pengadil itu selepas tamat perlawanan.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Hang Jebat itu, Aidil dilayangkan kad kuning kedua apabila dilihat menolak tangan pengadil perlawanan, Christopher Beath sebagai tanda bantahan selepas pengadil Australia itu menghadiahkan sepakan penalti minit akhir kepada Hong Kong.

Berita Harian X