Selasa, 26 September 2017 | 4:58pm
PEMAIN Johor Darul Ta'zim (JDT) Mohd Aidil Zafuan Abd Razak (dua dari kiri) dijatuhi hukuman gantung sebanyak empat perlawanan selain didenda sebanyak AS$5,000 (RM21,000) oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC). - Foto Mohd Azren Jamaludin

AFC gantung Aidil 4 perlawanan, denda RM21,000

KUALA LUMPUR: Tindakan pertahanan kebangsaan, Aidil Zafuan Abd Radzak yang cuba 'mencari pasal' dengan pengadil perlawanan pada aksi kelayakan Piala Asia 2019 antara Malaysia dan Hong Kong di Melaka, akhirnya mengundang padah.

Pemain skuad Harimau Malaya itu semalam dijatuhi hukuman gantung sebanyak empat perlawanan selain didenda sebanyak AS$5,000 (RM21,000) oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Jawatankuasa Disiplin dan Etika AFC dalam satu kenyataan sini, hari ini, berkata dalam mesyuaratnya semalam, pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT) dikenakan hukuman terbabit mengikut peruntukan dalam Artikel 50 Kod Disiplin dan Etika AFC atas kesalahan mencemarkan permainan.

Kenyataan itu menyebut defendan diarah untuk meninggalkan padang pada minit kedua masa tambahan di separuh masa kedua, namun tetap berada dalam kawasan permainan selama dua minit 30 saat ketika dia sepatutnya sudah beredar.

Malah, dia turut menggunakan kata-kata yang tidak sepatutnya dan menghina sebelum turut bersemuka dengan pengadil selain cuba bertindak agresif dengan mengeluarkan kata-kata sama kepada pengadil itu selepas tamat perlawanan.

"Berdasarkan peruntukan Artikel 50.1 Kod Disiplin dan Etika AFC (Edisi 2017), Aidil digantung empat perlawanan dan penggantungan itu membabitkan aksi bertemu Hong Kong (10 Oktober), Korea Utara (14 November) dan Lubnan (27 Mac) sementara baki penggantungan adalah untuk satu aksi antarabangsa seterusnya.

"Selain itu, Aidil turut dikenakan denda AS$5,000 (RM21,000) dan perlu menyelesaikan denda terbabit dalam tempoh 30 hari selepas keputusan dikeluarkan selari dengan Kod Artikel 11.3.

"Dalam masa sama, AFC turut mengingatkan Aidil bahawa hukuman yang lebih keras akan dikenakan ke atasnya jika kesalahan sama diulangi pada masa akan datang," kata badan induk bola sepak Asia itu.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Hang Jebat itu, Aidil dilayangkan kad kuning kedua apabila dilihat menolak tangan pengadil perlawanan, Christopher Beath sebagai tanda bantahan selepas pengadil Australia itu menghadiahkan sepakan penalti minit akhir kepada Hong Kong.

Bagaimanapun, penjaga gol, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy menjadi wira Harimau Malaya selepas menyelamatkan sepakan penalti terbabit sekaligus membolehkan Malaysia terikat 1-1 untuk mata pertama Malaysia pada aksi kelayakan itu.

Berita Harian X