Isnin, 25 September 2017 | 9:51pm
LEGENDA bola sepak negara, Bakri Ibni gesa FAM, NFDP kurangkan aksi menentang pasukan kelab. - Foto Osman Adnan

Saranan Bakri untuk FAM, NFDP

KUALA LUMPUR: Legenda bola sepak negara, Bakri Ibni menggesa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) mengurangkan pembabitan skuad bawah 16 tahun negara (B-16) dalam aksi menentang pasukan berstatus kelab.

Katanya, dengan sasaran khusus yang diletakkan ke atas skuad kendalian Lim Teong Kim untuk layak ke Piala Dunia Remaja B-17 pada 2019, mereka harus didedahkan dengan aksi lebih mencabar dengan berdepan skuad remaja kebangsaan yang pernah layak ke kejohanan terulung dunia itu.

"Sejak NFDP dilancarkan tiga tahun lalu, beberapa kejayaan berjaya diraih pasukan Teong Kim dalam kejohanan membabitkan peringkat kelab di Eropah dan Asia.

"Begitupun, aksi cemerlang itu gagal diteruskan di pertandingan antara negara yang nyata lebih kompetitif berbanding kelab biarpun mungkin kelab itu antara yang terkenal di Eropah.

"Kekalahan di tangan Jepun (Kelayakan Kejohanan AFC B-16) di Indonesia semalam, menunjukkan tahap bola sepak kita masih jauh ketinggalan walaupun kita pernah menewaskan kelab England, Perancis ataupun Jerman dalam siri jelajah mereka sebelum ini.

"Jadi, kalau kita masih berpegang dengan sasaran nak layak ke Piala Dunia pada 2019, mereka (FAM dan NFDP) perlu ubah segera dan mendedahkan pemain dengan perlawanan bertaraf antarabangsa.

"Kalau tidak jangan mimpi untuk layak dan segala duit yang dilaburkan kepada NFDP hanya sia-sia saja," katanya semalam.

Luahan bekas pemain kebangsaan itu sebenarnya pernah dilaporkan akhbar ini pada Mei lalu sebaik skuad masa depan Malaysia itu pulang daripada menyertai saingan Torneo Delle Nazioni 2017 di Itali yang menyaksikan mereka sekadar menamatkan cabaran di tangga ke-10 daripada 12 pasukan.

Daripada lima aksi di kejohanan itu, anak buah Teong Kim sekadar meraih satu kemenangan ke atas Slovenia (3-1) dalam aksi klasifikasi 9-12 dengan selebihnya tewas, malah gagal mengutip sebarang mata di peringkat kumpulan.

Senario itu jelas berbeza ketika pasukan sama menjuarai Piala Iber Costa Del Sol 2015 dan Piala SuperMokh 2016 yang menampilkan kelab-kelab ternama Eropah seperti Sporting Lisbon, Paris Saint Germain (PSG), Manchester City dan banyak lagi.

Bakri, yang berpengalaman luas dalam menguruskan program pembangunan di peringkat remaja ketika bersama FAM sebelum ini, menegaskan peluang skuad B-16 negara untuk beraksi di Piala Dunia amat cerah selepas Malaysia dipilih sebagai tuan rumah pusingan akhir Kejohanan AFC B-16 tahun depan.

"Kita ada peluang baik untuk layak kerana pasukan ini akan beraksi di depan penyokong sendiri. Ini peluang keemasan untuk kita layak secara automatik sekali gus melahirkan generasi emas bola sepak negara," katanya.

Berdasarkan format pusingan akhir itu nanti, empat pasukan yang layak ke separuh akhir akan mewakili Asia di pusingan akhir Piala Dunia B-17 pada 2019.

Berita Harian X