Ahad, 24 September 2017 | 11:40pm
PEMAIN Kedah meraikan kejayaan mara ke suku akhir kedua Piala Malaysia 2017 selepas menumpaskan pasukan Selangor 1-0 di Stadium Darulaman, malam tadi. - Foto Amran Hamid

Penalti musnahkan impian Selangor

Kedah melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia

ALOR SETAR: Kedah menewaskan Selangor 1-0 pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Darul Aman di sini, sebentar tadi sekali gus layak ke separuh akhir dengan agregat 4-2.

Aksi yang disaksikan kira-kira 23,000 penonton itu ternyata sukar buat Selangor untuk mengejar kelebihan Kedah selepas ketinggalan 2-3 pada aksi perlawanan suku akhir pertama di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, minggu lalu.


PEMAIN tengah Kedah, Sandro Da Silva (kiri) diasak pemain pertahanan Selangor, Mohd Razman Roslan (kanan) pada pada aksi suku akhir kedua saingan Piala Malaysia 2017 di Stadium Darulaman, malam tadi . - Foto Amran Hamid

Pada awal babak perlawanan, Selangor yang juga juara Piala Malaysia 33 terus melancarkan serangan, namun peluang diperoleh penyerang Rufino Segova menerusi tandukan pada minit ke-3 tersasar.

Selang tiga minit Kedah hampir mendahului di depan melalui percubaan Liridon Krasniqi yang mendapat lorongan daripada Ken Ilso, namun percubaannya lemah dan mudah diselamatkan penjaga gol Selangor, Norzalan Razali.

Penyerang Selangor, Forkey Doe turut mencemaskan pertahanan Kedah pada minit ke-7 apabila melakukan gerakan licik namun percubaannya sedikit tersasar.


BADDROL Bakhtiar (kiri) cuba dihalang pertahanan Selangor, Adam Nor Azlin pada aksi suku akhir kedua saingan Piala Malaysia 2017 di Stadium Darulaman, malam tadi . - Foto Amran Hamid

Benteng Kedah sekali lagi diuji pada minit ke-24 menerusi rembatan jarak jauh Syahmi Safari, tetapi berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal.

Sandro Da Silva menceriakan penyokong Kedah apabila menghadiahkan gol pertama selepas menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-29 setelah Ilso dijatuhkan oleh pertahanan Selangor, Ugochukwu Ukah.

Bermula babak kedua, Ilso hampir menghasilkan gol kedua Kedah pada minit ke-49 melalui hantaran yang diterimanya daripada Amirul Hisyam tetapi tolakan bolanya terkena kaki pertahanan Selangor.

Ilso sekali lagi hampir mengubah kedudukan gol pada minit ke-69 selepas menerima hantaran silang Baddrol Bakhtiar, namun gagal menampan bola ke bahagian kanan gawang Selangor.

Di penghujung babak kedua Andik Vernansyah melakukan percubaan bahaya ke gawang Kedah namun berjaya diselamatkan oleh Ifwat dan kedudukan 1-0 terus kekal hingga ke hujung perlawanan.

Berita Harian X