Ahad, 24 September 2017 | 11:12pm
PENYERANG JDT, Ahmad Hazwan Bakri (kanan) diasak pemain Melaka United, Felipe De Almeida Souza pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia 2017 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi. - Foto Hairul Anuar Rahim

Piala Malaysia: JDT tak berdepan masalah ke separuh akhir

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak berdepan masalah untuk melangkah ke saingan separuh akhir dengan agregat 5-2 biarpun pada aksi suku akhir kedua berkesudahan seri 1-1 dengan Melaka United (MU) pada aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, sebentar tadi.

Dengan keputusan itu menyaksikan JDT mengulangi pencapaian pada musim 2014 selepas layak ke saingan separuh akhir dan pada musim ini skuad Harimau Selatan bimbingan Ulisses Morais akan berdepan Perak sama ada pada 13 atau 14 Oktober ini.


PENYERANG muda JDT, Muhd Safawi Rasid (kanan) cuba dihalang pemain Melaka United, Jeon Woo Young pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia 2017 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi. - Foto Hairul Anuar Rahim

Apapun pada pertembungan menentang skuad kendalian Eduardo Almeida, skuad Harimau Selatan tampak mempertaruhkan beberapa pemain simpanan tatkala merehatkan tonggak utama namun masih mampu mengancam kubu pelawat.

Ketika aksi memasuki minit ke-15 tuan rumah mencemaskan gawang pelawat selepas bola sepakan percuma Muhd Safawi Rasid sekadar melintasi di depan pintu gol dan gagal disambar oleh barisan pemain JDT.

Bermula daripada gerakan menarik Muhd Safawi di posisi sayap kiri pada minit ke-21 yang melintangkan bola tepat kepada Darren Lok yang bingkas menolak ke belakang membolehkan Nazmi Faiz Mansor yang tidak dikawal merembat bola kencang menewaskan penjaga gol, Mohd Fazli Paat.

Natxo Insa yang dilantik selaku kapten pada perlawanan itu nyata memainkan peranan penting apabila bertindak selaku `maestro' di posisi tengah dan bola umpanan kepada Darren hampir menyaksikan penyerang JDT itu hampir mencipta gol pada minit ke-28, namun sempat ditepis Mohd Fazli.

Bagaimanapun pelawat bangkit menyamakan jaringan pada minit ke-43 selepas Felipe De Souza menjaringkan gol menerusi sepakan penalti berpunca daripada bola yang terkena tangan S Kunanlan di dalam kotak penalti hasil rembatan pemain gantian Jasmir Mehat.

Bersambung babak kedua, skuad Harimau Selatan terus menguasai perlawanan dan pemain gantian, Gabriel Guerra yang masuk menggantikan Muhd Safawi hampir meletak tuan rumah di depan pada minit ke-61, namun bola rembatan leret sipi dari gawang gol.

Malah percubaan pemain gantian, Gonzalo Cabrera pada minit ke-79 masih belum mampu menjelmakan jaringan kedua buat tuan rumah yang begitu rakus melakukan serangan bertali arus dan kedudukan seri 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Berita Harian X