Ahad, 24 September 2017 | 1:50pm
MAURICIO Pochettino (kanan) mengakui persembahan yang ditampilkan penyerangnya, Harry Kane kini mengukuhkan posisinya sebagai antara penyerang terbaik dunia. - Foto REUTERS

Pochettino hargai sentuhan Kane

LONDON: Pengendali Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino berkata dia 'jatuh cinta' dengan Harry Kane selepas bintang penyerangnya itu kini mengumpul enam gol dalam empat perlawanan musim ini.

Dua gol Kane membantu Spurs menang 3-2 di West Ham United, sekali gus memastikan mereka tidak ketinggalan jauh di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City dan Manchester United.

Pochettino berkata persembahan yang ditampilkan penyerangnya itu mengukuhkan posisinya sebagai antara penyerang terbaik dunia dan layak untuk menerima pujian yang diberikan kepadanya.


HARRY Kane (kiri) menjaringkan gol keduanya ketika menewaskan West Ham. - Foto REUTERS

"Dia salah seorang penyerang terbaik di mana-mana saja, bukan saja di England. Saya mendapati sukar untuk menggunakan ayat yang betul bagi menggambarkannya," kata Pochettino.

"Saya juga jatuh cinta seperti peminat kami menyayanginya, seperti rakan sepasukannya yang juga sayang kepadanya.

"Dia seorang yang merendah diri dan dia mengekalkan semua nilai-nilai yang pengurus seperti saya hargai. Itulah sebabnya mengapa saya sayang dengannya atas alasan yang berbeza."

Pengurus West Ham, Slaven Bilic turut bersetuju dengan pendapat Pochettino dan memuji prestasi yang ditampilkan Kane.


HARRY Kane (kanan) menanduk bola masuk untuk gol pertama Spurs ketika menewaskan West Ham. - Foto EPA

"Pujian yang terbaik saya boleh berikan kepadanya. Kami bermain dengan tiga pertahanan dan permainan mereka amat baik," kata Bilic.

"Mereka sentiasa bersaing dengannya (Kane) dan (Dele) Alli dan dia masih dapat menggunakan situasi itu dan memutuskan permainan untuk mereka.

"Dia jelas antara penyerang terbaik di dunia. Dia melakukannya setiap minggu ketika ini." - AFP

Berita Harian X