Khamis, 21 September 2017 | 6:29pm
PEMAIN Malaysia, Muhammad Adib Zainudin (tengah) anggap keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melanjutkan kontrak jurulatih Datuk Ong Kim Swee adalah tepat. - Foto Luqman Hakim Zubir

Kekal Kim Swee keputusan tepat - Adib

KUALA LUMPUR: Kapten skuad bawah 22 tahun (B-22) negara Adib Zainudin menganggap keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melanjutkan kontrak jurulatih Datuk Ong Kim Swee adalah tepat dalam misi mengharungi pusingan akhir Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di China, Januari tahun depan.

Pemain pertahanan tengah itu berkata, kehadiran Kim Swee untuk terus bersama pasukan memberi sedikit kelebihan dalam melakukan persiapan rapi selepas ini.

"Pada saya ia keputusan yang tepat apabila Kim Swee terus kekal melatih pasukan ini. Beliau sudah buktikan dengan dua kejutan mara ke Kejohanan AFC dan final Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

"Beliau sudah mengenali pemain dan pemain pula sudah serasi dengan corak latihan, taktikal yang diterapkan. Ini sedikit sebanyak memberi sedikit kelebihan memandangkan Kejohanan AFC itu sudah semakin hampir," katanya kepada Arena Metro.

Kim Swee, 46, secara dasarnya sudah bersetuju untuk menandatangani kontrak lanjutan selepas kontrak dua tahunnya bersama FAM bakal berakhir Disember ini.

Pengakuan itu dibuat sehari selepas Presiden FAM ,Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyatakan bahawa badan induk itu berminat untuk terus menggunakan khidmat Kim Swee.

Kejayaan melepasi halangan kelayakan Kejohanan AFC B-23 di Bangkok Julai lalu dan mara ke final KL2017 sebelum tewas 0-1 kepada Thailand menjadi faktor utama keputusan FAM mengekalkan Kim Swee yang dikatakan turut mendapat tawaran kelab Indonesia.

Adib, 22, bagaimanapun menegaskan semua pemain tidak boleh berasa selesa dengan Kim Swee.

"Mungkin ada orang cakap, jurulatih yang sama, pemain tetap sama. Peluang pemain lain tak ada. Pada saya tidak. Saya percaya Kim Swee hanya akan memilih pemain berdasarkan prestasi.

"Beliau pandai mengesan bakat baru, tidak mustahil akan ada pemain baru dibawa masuk. Jadi pemain lama perlu berusaha keras untuk kekal bersama pasukan," kata pemain kelab FELCRA FC itu.

Berita Harian X