Jumaat, 15 September 2017 | 7:20pm
KETUA Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam. - Foto Osman Adnan

Pelesenan mampu elak masalah tunggakan gaji

KUALA LUMPUR: Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) yakin pelesenan kelab dijangka mampu menangani masalah tunggakan gaji pemain Liga Malaysia (Liga M).

Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam berkata, setiap pasukan perlu melepasi penilaian yang dibuat terhadap enam kriteria utama, termasuk kesukanan, infrastruktur, pentadbiran kakitangan, perundangan, kewangan dan perniagaan, seperti yang termaktub dalam Peraturan Pelesenan Kelab Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Edisi 2017.

Katanya, menerusi pelesenan kelab, setiap pasukan perlu mengisytiharkan akaun kewangan mereka, termasuk segala perbelanjaan pasukan dan sumber kewangan yang diperoleh.

"Sudah tentu pelesenan kelab boleh bantu (menangani masalah tunggakan gaji pemain) yang mana setiap pasukan mesti isytiharkan akaun kewangan mereka.

"Jadi, kita boleh lihat status pembayaran (gaji pemain) dan sebagainya. Mereka turut perlu buat pelan perancangan perniagaan untuk tempoh tiga tahun.

"Kita juga dapat lihat dari mana mereka akan dapat sumber kewangan dan apa perancangan pasukan. Secara tidak langsung memaksa pasukan itu berfikir lebih panjang.

"Saya harap semua pihak bersabar untuk melihat keberkesanan pelesenan kelab dan saya pasti ia akan membawa kebaikan dalam jangka masa panjang dari segi isu seperti ini," katanya ketika dihubungi.

Kevin berkata demikian sebagai mengulas isu tunggakan gaji pemain yang terus membelenggu pasukan Liga M ketika ini.

Setakat ini, permohonan lesen tujuh pasukan Liga Super (Johor Darul Ta'zim, Pahang, Perak, PKNS FC, Pulau Pinang, Selangor dan T-Team FC) sudah diluluskan manakala lima lagi dalam peringkat rayuan dan bagi Liga Perdana, ia akan dilaksanakan pada 2019.

Mengulas mengenai isu tunggakan gaji pemain Kuantan FA, Kevin berkata pihaknya menunggu keputusan daripada Jawatankuasa Status FAM.

"Keputusan biasanya dibuat oleh Jawatankuasa Status dan kita juga memerlukan pengesahan bahawa dakwaan (tunggakan gaji) yang dibuat adalah benar.

"Setelah keputusan dibuat oleh jawatankuasa itu, baru kami boleh berbuat sesuatu dalam liga.

"Namun, apa yang kita kesalkan adalah aduan yang dibuat (pemain) begitu lewat iaitu selepas beberapa bulan tunggakan gaji," katanya.

19 dibaca
Berita Harian X