Isnin, 11 September 2017 | 8:30pm
PASUKAN Harimau Malaya menjalani latihan menjelang aksi ketiga Kumpulan B Kelayakan Piala AFC 2019 menentang Korea Utara di Pyongyang pada 5 Oktober ini. - Foto Khairunisah Lokman

Harimau Malaya tetap ke Pyongyang

KUALA LUMPUR: Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) tetap dengan pendirian untuk meneruskan aksi ketiga Kumpulan B Kelayakan Piala AFC 2019 antara Korea Utara dan Malaysia di Pyongyang pada 5 Oktober ini, meskipun wujud kebimbangan kemungkinan tercetusnya perang di ibu negara republik itu.

Berdasarkan perkembangan terbaru di Korea Utara ketika ini, Pyongyang baru saja meraikan kejayaan melancarkan ujian nuklear keenam yang kemudiannya mencetuskan kecaman global, terutama dari Amerika Syarikat yang melihat tindakan itu sebagai meminta-minta untuk berperang.

Menurut Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John, pihaknya sentiasa peka dengan situasi yang berlaku di negara Asia Timur itu dan percaya keselamatan skuad kendalian Nelo Vingada sepanjang berada di sana pasti terjamin.

Malah, selepas ditunda dua kali sebelum ini, aksi berkenaan tidak boleh ditunda lagi dengan Persatuan Bolasepak Korea Utara (PRKFA) sendiri bertegas untuk mengadakan perlawanan itu di negara sendiri, bukannya di gelanggang berkecuali.

"Kita (AFC) baru saja habis perlawanan Korea Utara dan Lubnan tanpa apa-apa masalah keselamatan mahupun pengelolaan perlawanan di Pyongyang (5 September lalu).

"Malah, pada hari Rabu ini (esok) sebuah kelab Korea Utara akan bermain dengan kelab Bengaluru dalam perlawanan AFC dan setakat ini tak ada apa-apa masalah.

"Jadi Jawatankuasa Pertandingan AFC buat masa ini tidak membuat keputusan yang lain, selain bermain di Pyongyang," katanya.

Pada Mei lalu, badan induk bola sepak Asia itu terpaksa menunda buat kali kedua pertemuan kedua-dua pasukan selepas turut melakukannya pada 28 Mac lalu, susulan ketegangan hubungan diplomatik apabila abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari lalu.

Penangguhan ini adalah yang kedua selepas perlawanan asal yang dijadualkan pada 28 Mac lalu dipinda kepada 8 Jun, ekoran masalah hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Bimbang dengan keselamatan pemain dan pegawai pasukan di sana, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengemukakan rayuan memohon agar AFC mengubah venue perlawanan itu ke gelanggang berkecuali.

Bagaimanapun, ianya ditolak PRKFA apabila memberi jaminan bahawa keselamatan pasukan kebangsaan terjamin sepanjang berada di negara itu.

Malaysia yang sebelum ini tewas 1-2 kepada Lubnan dan seri 1-1 ketika menentang Hong Kong di Larkin, wajib meraih tiga mata penuh apabila bertemu Korea Utara selepas sekadar mengumpul satu mata dan berada di tangga tercorot kumpulan.

Berita Harian X