Isnin, 11 September 2017 | 6:53pm
KONTRAK ketua jurulatih B22 Malaysia, Datuk Ong Kim Swee tamat pada 31 Disember ini. - Foto Hairul Anuar Rahim

Kim Swee dijangka lanjut kontrak

KUALA LUMPUR: Walaupun mendapat tawaran lumayan dari pasukan kelab di Indonesia dan Thailand, Datuk Ong Kim Swee dijangka akan menyambung kontraknya sebagai ketua jurulatih skuad muda negara dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Difahamkan Kim Swee, yang mengemudi skuad Bawah 23 Tahun (B-23) ke final temasya Sukan SEA KL2017 bulan lalu, sudah dihubungi pengurusan tertinggi FAM, termasuk presiden Tunku Ismail Sultan Ibrahim, berhubung kemungkinan melanjutkan kontraknya.

Rundingan bagaimanapun masih diteruskan, tetapi Kim Swee yang sering mengutamakan skuad senior dan muda berbanding perkara lain, akan terus mengendalikan pasukan itu dalam Kejohanan B-23 Asia di China dan Sukan Asia Indonesia, tahun depan.

Kontrak jurulatih kelahiran Melaka itu tamat pada 31 Disember ini.

Difahamkan, FAM sedang mengemas kini beberapa terma dalam kontrak itu dengan Kim Swee tidak lama lagi dan pengumuman rasmi akan dibuat pada penghujung bulan ini.

Sebelum ini, laporan menyebut empat kelab pasukan Liga Super Indonesia berunding untuk mendapatkan khidmat Kim Swee dengan tawaran pakej yang lumayan dan menarik.

Kelab berpangkalan di Jakarta, Bhayangkara FC, PS TNI dan Persija Jakarta serta kelab dari Kalimantan, Mitra Kukar dikatakan berminat untuk mendapatkan sentuhan jurulatih berusia 47 tahun itu.

Di bawah kendalian Kim Swee sejak mengambil alih tugas daripada Frank Bernhardt Mac lalu, Malaysia bukan saja layak secara merit ke kejohanan B-23 tahun AFC di China tahun depan, tetapi turut memenangi pingat perak Sukan SEA 2017.

Keistimewaan Kim Swee ialah perancangan strategi dan formasi yang menjadi kunci kejayaan pasukan bimbingannya, selain mengenal pasti bakat pemain hingga ke Liga FAM, berbanding hanya tertumpu ke Liga Super dan Liga Perdana.

Hasilnya, pertahanan pasukan Felcra FC dalam Liga FAM, Adib Zainudin dan penyerang N Thanabalan menjadi tonggak kemenangan pasukan kendalian Kim Swee pada kempen kelayakan B-23 AFC dan Sukan SEA lalu.

Berita Harian X