Isnin, 11 September 2017 | 1:04am
PENYERANG Inter Milan, Ivan Perisic (kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan selepas meledak gol ketika menewaskan SPAL 2013, 2-0 di Stadium San Siro. - Foto AFP

Rujuk VAR sebelum hadiah sepakan penalti

MILAN: Pengadil perlawanan mengambil masa sehingga lima minit untuk menghadiahkan sepakan penalti kepada Inter Milan selepas merujuk video bantuan pengadil (VAR) pada perlawanan yang menyaksikan Inter menewaskan SPAL 2013, 2-0.

Pemain tengah Inter, Joao Mario dijatuhkan dalam kotak penalti akibat terjahan Francesco Vicari pada minit ke-22 dan pengadil, Claudio Gavillucci terus merujuk kepada rakaman video ulangan.

Selepas perbincangan, pegawai akhirnya menghadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan kapten pasukan, Mauro Icardi untuk gol kelimanya dalam tiga perlawanan dengan jaringan direkodkan secara rasmi pada minit ke-27.


GAVILLUCCI melihat rakaman VAR pada aksi Serie A di Stadium San Siro sebelum menghadiahkan sepakan penalti kepada Inter Milan. - Foto REUTERS


PENGADIL perlawanan, Claudio Gavillucci menghadiahkan sepakan penalti kepada Inter Milan selepas merujuk video bantuan pengadil (VAR) pada aksi Serie A di Stadium San Siro. - Foto REUTERS

Ivan Perisic melengkapkan kemenangan Inter dengan jaringan voli pada minit ke-87 sekali gus membolehkan pasukannya meraih sembilan mata daripada tiga perlawanan setakat ini dan menghadiahkan kekalahan pertama buat SPAL pada musim ini.

Serie A antara adalah liga yang sedang menjalankan percubaan ke atas sistem VAR sebelum Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB) memutuskan sama ada sistem itu akan terus digunakan secara tetap.

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengharapkan sistem VAR dapat digunakan pada kempen Piala Dunia, tahun depan. - Reuters

443 dibaca
Berita Harian X