Ahad, 10 September 2017 | 11:38am
PENYERANG Arsenal, Alexandre Lacazette menjaringkan gol kedua ketika menentang Bournemouth di Stadium Emirates, malam tadi. - Foto Darren Staples

Wenger mahu Sanchez balas kritikan penyokong

LONDON: Arsene Wenger meminta Alexis Sanchez menampilkan aksi terbaik di padang dan mendiamkan penyokong Arsenal yang mengejeknya ketika kemenangan 3-0 dalam saingan Liga Perdana bertemu Bournemouth.

Sanchez hampir berpindah pada hari terakhir ke Manchester City namun Arsenal menolak tawaran selepas mereka gagal mendapatkan pemain Monaco, Thomas Lemar sebagai penggantinya.


PENGURUS Arsenal, Arsene Wenger yakin dengan komitmen Sanchez. - Foto AFP

Penyerang Chile itu akan tamat kontrak pada penghujung musim dan boleh keluar dari Stadium Emirates secara percuma.

Wenger menegaskan sepanjang musim panas dia lebih suka senario itu berlaku berbanding menjual bekas pemain Barcelona itu walaupun pada penghujung perpindahan dia mula berlembut.

Sanchez diletakkan di bangku simpanan berdepan Bournemouth ketika Danny Welbeck meledak dua gol dan Alexandre Lacazette juga menemui sasaran bagi membawa kembali Arsenal ke landasan selepas dua kekalahan sebelum rehat perlawanan antarabangsa.


PENYERANG Arsenal, Alexis Sanchez (dua dari kanan) diasak pemain pertahanan Bournemouth, Harry Arter (dua dari kiri) pada aksi Liga Perdana Inggeris di i Stadium Emirates, malam tadi. - Foto REUTERS

Sanchez dimasukkan menggantikan Welbeck pada penghujung perlawanan dengan reaksi pelbagai dengan sebahagian penyokong mengejek namanya - mungkin kecewa dengan keinginannya untuk ke City.

"Kami boleh menjangkakan tindak balas daripada orang ramai," kata Wenger apabila ditanya reaksi negatif itu.

"Saya tidak tahu kenapa (adanya ejekan). Cara terbaik membuatkan mereka menyokong anda ialah dengan beraksi baik.

"Saya bercakap dengannya selepas perlawanan dan dia tidak nampak tidak gembira. Mungkin kerana dia mahu menjaringkan gol." - AFP

Berita Harian X