Ahad, 10 September 2017 | 12:30am
PEMAIN Kuala Lumpur meraikan kemenangan menewaskan PKNS FC di Stadium Hang Jebat. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
PEMAIN PKNS FC, Rajes Perumal (kiri) cuba mengasak pemain KL, Guilherme de Paula pada saingan Kumpulan B Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

KL kejutkan PKNS FC

MELAKA: Skuad Liga Perdana, Kuala Lumpur (KL) mengejutkan PKNS FC menerusi kemenangan 2-0 pada saingan Kumpulan B Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, sebentar tadi.

Saingan seimbang sepanjang babak pertama perlawanan menyaksikan serangan balas pantas daripada kedua-dua pasukan, namun gagal membuahkan hasil walaupun masing -masing memiliki beberapa peluang jaringan.

Percubaan terbaik skuad warga kota hadir pada minit ke-18 dan minit ke-43 menerusi Guilherme de Paula, namun rembatannya gagal menerobos gawang pelawat selepas penjaga gol PKNS, Tauffiq Ar Rasyid Johar bijak menafikan dua peluang terbabit.

PKNS turut meraih dua peluang mendahului pelawat pada minit ke-25 menerusi Abdou Jammeh tetapi tinggi melepasi palang gol manakala rembatan Shahrul Azhar Ture pada minit ke-30 pula ditepis penjaga gol Kamarul Effandi Abdul Rahim.


PEMAIN KL, Helmi Remeli (kiri) bersaing dengan pemain PKNS FC pada saingan Kumpulan B Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Babak kedua menyaksikan anak buah Fabio da Silva mengasak lebih agresif ke kubu PKNS dan hasilnya Guilherme meletakkan bola ke dalam jaring pelawat menerusi tolakan tepat dalam situasi kelam kabut di depan gawang The Red Ants untuk mendahului 1-0 pada minit ke-47.

PKNS turut membuka peluang menyamakan kedudukan pada minit ke-63 tetapi rembatan Bobby Gonzales dan K Gurusamy pada minit ke-65 serta Fabio Ferreira minit ke-76 gagal menembusi gawang tuan rumah.

Ketika usaha keras PKNS untuk menyamakan kedudukan masih tidak berhasil walaupun membawa masuk bekas penyerang sensasi Harimau Malaya Safee Sali, KL pintar melakukan serangan balas pantas dengan hasilnya Guilherme menanduk masuk gol kedua peribadinya dalam perlawanan terbabit untuk pulang ke ibu kota dengan tiga mata.

Bagaimanapun, kemenangan KL masih tidak mampu memintas Perak dan FELDA United yang sudah memastikan tiket suku akhir lebih awal dari Kumpulan B, namun dilihat penting buat The City Boys untuk mengejar mahkota kejuaraan Liga Perdana.

Berita Harian X