Jumaat, 8 September 2017 | 6:12pm
Pemain Pahang, Matheus Aleves (kanan) diasak pemain Melaka United, Nicholas Ryan (tengah) pada saingan Liga Super 2017 di Stadium Darul Makmur. - Foto Farizul Hafiz Awang

Piala Malaysia: Pahang, MU ada kelebihan

KUALA LUMPUR: Hanya dua sahaja lagi 'tiket' suku akhir Piala Malaysia menjadi rebutan lima pasukan pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan, malam esok.

Ia berikutan enam slot sudah ditempah PKNP FC, Kedah, Perak, FELDA United, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor.

Satu tiket suku akhir kini berada dalam Kumpulan A yang bakal direbut Pahang, T-Team dan Negeri Sembilan sementara satu lagi menjadi perebutan antara Melaka United (MU) dan Kelantan dalam Kumpulan C.

Pahang wajib menang ke atas T-Team di Darul Makmur sekiranya mahu layak manakala MU hanya memerlukan keputusan seri apabila berdepan UiTM FC untuk menyingkirkan Kelantan.

Apa yang pasti, ia bukan tugas mudah buat semua pasukan terutama apabila ia adalah perlawanan pertama selepas berehat hampir sebulan kerana memberi laluan kepada penganjuran Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) bulan lalu.

Peratusan peluang untuk layak dilihat lebih berpihak kepada Pahang dan MU sementara nasib tiga pasukan - T-Team, Negeri Sembilan serta Kelantan - boleh diibaratkan seperti 'telur di hujung tanduk'.

Bagaimanapun, skuad Tok Gajah dan Hang Tuah tidak boleh terlalu selesa kerana sedikit kesilapan akan menyebabkan mereka berdepan kekecewaan.

Pertemuan Pahang dan T-Team dijangka menarik selepas masing-masing mencatat kemenangan besar pada perlawanan terakhir awal Ogos lalu dengan Tok Gajah membelasah PKNP 6-0 dan The Titans menang 4-1 ke atas Negeri Sembilan.

Apapun, Pahang pasti akan menggunakan sepenuhnya kelebihan beraksi di gelanggang sendiri untuk memastikan tiket suku akhir dari Kumpulan A itu menjadi milik mereka.

Bagi MU, mereka hanya perlu mengelak daripada melakukan kesilapan di gelanggang UiTM untuk mara selaku naib juara Kumpulan C.

Kesilapan Kelantan yang tewas 2-3 kepada MU di Kota Bharu pada 2 Ogos lalu, nyata memberi kesan yang cukup besar apabila mereka tidak mempunyai pilihan lain selain wajib menang ke atas juara bertahan, Kedah di Darul Aman sambil mengharapkan ada 'kejutan' dalam perlawanan MU dan UiTM.

Berita Harian X