Khamis, 7 September 2017 | 9:56pm
BEKAS jurulatih Harimau Malaya, Mohd Azraai Khor Abdullah (kiri) anggap tugas Vingada perit.

Tugas berat menanti Vingada

KUALA LUMPUR: Jurulatih tempatan berpengalaman Mohd Azraai Khor Abdullah menganggap ia bukan tugas mudah jika pengendali Harimau Malaya, Nelo Vingada mahu merombak semula pasukan ketika mereka kini berada dalam situasi kritikal untuk melepasi kempen Kelayakan Piala Asia 2019.

Kegagalan meraih kemenangan ke atas Hong Kong apabila menamatkan perlawanan dengan keputusan seri 1-1 selepas beraksi dengan sembilan pemain di Stadium Hang Jebat, Melaka, Selasa lalu meletakkan Malaysia terus terperosok di dasar Kumpulan B.

Mengikut perkiraan, Harimau Malaya tidak boleh keciciran mata di laman sendiri apatah lagi berdepan lawan yang dianggap tidak sehebat Lubnan dan Korea Utara.

Kalah 1-2 kepada Lubnan di Larkin Jun lalu dan seri dengan Hong Kong meletakkan skuad kendalian Vingada itu dalam kedudukan perit dalam mencari kedudukan dua teratas untuk layak dengan tiga daripada empat perlawanan beraksi di gelanggang lawan menanti mereka termasuk menentang Korea Utara 5 Oktober depan di Pyongyang.

Ada pihak yang menggesa supaya jurulatih bergelar 'The Professor' itu melakukan rombakan dengan memanggil ramai pemain daripada skuad B-22 untuk memperkuatkan pasukan senior bagi aksi seterusnya apatah lagi selepas mereka turut gagal meraih kemenangan dalam aksi persahabatan dengan Syria (1-2) dan Myanmar (0-1).

Bagaimanapun, bagi Azraai yang pernah membimbing skuad Kedah meraih tiga kejuaraan berturut-turut pada 2007-2008 serta melatih Harimau Muda A pada 2010, Vingada berdepan situasi sukar ketika ini.

"Sepatutnya kita sepatutnya menang dengan Hong Kong, kita cipta banyak peluang. Memang sukar bila kita ada peluang untuk menang tapi disia-siakan.

"Sekarang terpulang kepada percaturan jurulatih. Selepas ini tak ada banyak masa untuk berlatih bersama, Rizal (Ghazali) dan Aidil (Zafuan Abd Radzak) pula tak boleh bermain kerana kad merah jadi ini cabaran yang bakal beliau (Vingada) hadapi," katanya kepada Arena Metro hari ini.

Azraai berkata, sememangnya ada beberapa pemain daripada skuad B-22 yang meraih pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bulan lalu seperti Adam Nor Azlin dan N Thanabalan boleh diserapkan bersama pasukan tapi kekangan masa mungkin mencetuskan sedikit masalah.

"Memang boleh panggil pemain lain daripada skuad B-22 tapi saya fikir bukan secara drastik. Dengan kedudukan sekarang, jurulatih memerlukan masa untuk membentuk persefahaman dalam pasukan itu," katanya.

Berita Harian X