Rabu, 6 September 2017 | 12:13pm
PEMAIN Malaysia, Nazirul Naim (dua dari kiri) mengasak pemain Hong Kong, Tan Chun Lok (tiga dari kiri) pada aksi Kelayakan Piala Asia (AFC) 2019 menentang Malaysia di Stadium Hang Jebat, semalam. - Foto Khairunisah Lokman

Tuah hilang di Stadium Hang Jebat

MELAKA: Jurulatih negara Nelo Vingada mahu mempersiapkan skuad lebih baik bagi berdepan saingan Korea Utara pada perlawanan ketiga bulan depan selepas sekadar seri 1-1 bertemu Hong Kong di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam tadi.

Katanya, dia perlu membentuk sentuhan lebih efektif dalam pertemuan terbabit walaupun anak buahnya berjaya memperaga aksi yang amat positif dalam pertemuan berkenaan namun tindakan penyudah kurang berkesan antara yang perlu dipertingkat.

Katanya, pemain-pemain sudah mempamerkan persembahan yang agresif dan menguasai permainan, cuma tuah bukan milik Harimau Malaya selepas beberapa percubaan gagal membuahkan jaringan yang diharapkan.

Menurutnya, skuad negara sebenarnya layak untuk menang berdasarkan persembahan mereka yang bijak melakukan hantaran dari kiri dan kanan selain menerobos kubu lawan dari setiap penjuru padang.


PENJAGA gol Malaysia, Muhammad Hafizul Hakim berjaya menyelamatkan sepakan penalti minit akhir pasukan Hong Kong ketika aksi kedua Kumpulan B kelayakan Piala Asia (AFC) 2019 di Stadium Hang Jebat, semalam. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

"Walaupun tidak berjaya meledak jaringan di babak pertama , saya masih berpuas hati termasuk ketinggalan selepas itu dan menyamakan kedudukan.

"Tidak banyak perkara negatif dalam pertemuan ini namun gol lawan antara punca kita terpaksa akur hanya meraih satu mata.

"Apapun satu mata lebih baik daripada tanpa mata dan saingan masih terbuka berdasarkan keputusan semasa antara semua pasukan termasuk pertemuan Lubnan dan Korea Utara dengan peluang pasukan kami masih belum tertutup," katanya.

24 dibaca
Berita Harian X