Selasa, 5 September 2017 | 7:48pm
KETUA jurulatih Atletico Madrid, Diego Simeone terus mengemudi Atletico Madrid selepas menandatangani kontrak dua tahun sehingga 2020, sebentar tadi. - Foto EPA-EFE

Diego Simeone kemudi Atletico sehingga 2020

MADRID: Diego Simeone mengekalkan komitmennya untuk terus mengemudi Atletico Madrid dengan menandatangani lanjutan kontrak dua tahun sehingga 2020, umum kelab gergasi Sepanyol itu, hari ini.

"Lanjutan (kontrak) Diego Pablo Simeone kini menjadi realiti," kata kenyataan Atletico. "Jurulatih kelab menandatangani kontrak baharu yang mengekalkannya di Atletico Madrid untuk dua musim lagi, sehingga 30 Jun 2020,"

Simeone, 47, menikmati musim yang menakjubkan sejak mengambil alih kelab yang berdepan detik suram pada musim 2011.

Pengendali kelahiran Argentina ini mengemudi Atletico mencapai era yang paling berjaya dalam sejarah kelab, termasuk menamatkan kemarau 18 tahun merangkul trofi La Liga - pada musim 2013/14.

Atletico juga dua kali melangkah ke final Liga Juara-Juara di bawah kendalian Simeone, tetapi tewas semuanya kepada musuh ketat mereka, Real Madrid pada musim 2014 dan 2016.

Keputusan Simeone itu dianggap sebagai pemangkin kepada Atletico pada musim ini ketika kelab sedang bersedia untuk beraksi di gelanggang baharu - Wanda Metropolitano yang memiliki kapasiti 68,000 tempat duduk.

Selain kekal di kelompok teratas La Liga, Simeone untuk pernah merangkul Liga Europa (2012), Piala Super EUFA (2012), Copa del Rey (2013) dan Piala Super Sepanyol (2014) - sejak mengemudi kelab yang pernah disertainya sebagai pemain sebelum ini.

Bagaimanapun, keputusan untuk kekal hanya untuk dua tahun saja lagi menguatkan spekulasi Simeone sebenarnya menunggu peluang untuk berpindah ke bekas kelabnya Inter Milan atau mengemudi skuad kebangsaan Argentina. - AFP

Berita Harian X