Isnin, 4 September 2017 | 7:14pm
BOJAN Hodak. - Foto Osman Adnan

B-18 AFF: Malaysia benam Laos

KUALA LUMPUR: Skuad Bawah 19 tahun (B-19) negara membuka kempen Kejuaraan Bawah 18 tahun (B-18) Persekutuan Bola Sepak Asia Tenggara (AFF) 2017 dengan langkah kanan selepas meraih kemenangan 4-1 ke atas Laos, sebentar tadi.

Kemenangan selesa itu sekali gus mengangkat reputasi anak buah Bojan Hodak itu selaku pencabar utama kejohanan, meskipun berdepan kekangan masa dan hanya menjalani 10 kali sesi latihan sebelum bertolak ke Yangon, Myanmar, Sabtu lalu.

Percaturan Hodak yang mempertaruhkan penyerang muda Johor Darul Ta'zim II (JDTII), Hadi Fayyadh Abdul Razak serta penyerang Piala Presiden Kedah, Akhyar Rashid membuahkan hasil selepas kedua-dua pemain itu masing-masing meledak dua gol pada setiap babak perlawanan.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Aung Sann itu, Malaysia terpaksa menunggu sehingga minit ke-28 untuk membuka jaringan menerusi penyudah kemas Hadi sebelum Akhyar meledak gol kedua pada minit akhir babak pertama untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Akhyar yang sebelum ini dipanggil Datuk Ong Kim Swee untuk membarisi skuad Bawah 23 Tahun (B-23) membuktikan betapa dia antara prospek muda berbisa negara menerusi gol kedua peribadinya pada minit ke-60 untuk Malaysia terus selesa di depan 3-0.

Bagaimanapun, kealpaan benteng pertahanan membolehkan Laos mengurangkan defisit, sebelum Hadi memastikan Malaysia terus unggul apabila menambah derita Laos dengan gol keempat pada minit ke-90.

Kemenangan itu membolehkan Malaysia menerajui carta Kumpulan A, mengatasi Thailand menerusi perbezaan jaringan selepas Skuad Gajah Perang itu turut meraih kemenangan 3-0 ke atas Timor Leste.

Skuad B-19 akan meneruskan aksi mereka bertemu Singapura, Rabu ini, sebelum menentang Timor Leste pada Jumaat, sebelum berdepan Kemboja pada 10 September dan Thailand pada 12 September.

Berita Harian X