Isnin, 4 September 2017 | 12:25am
JORDAN Henderson dilantik kapten pasukan England oleh Gareth Southgate bagi menentang Slovakia, sebentar tadi. - Foto Reuters/Carl Recine

Southgate pilih Henderson lagi jadi kapten

ENFIELD (Britain): Kapten Liverpool, Jordan Henderson akan mengetuai England bagi aksi kelayakan Piala Dunia berdepan Slovakia awal pagi esok, kata Gareth Southgate, sebentar tadi.

Polisi penggiliran kapten dibuat Southgate sejak kali pertama mengetepikan Wayne Rooney dan dengan penyerang Everton itu sudah pun bersara daripada bola sepak antarabangsa, ini bermakna England tidak mempunyai kapten tetap.

Sebelum ini, Henderson, 27, turut dilantik sebagai kapten England ketika menumbangkan Malta Jumaat lalu, dan Southgate berkata Henderson akan seklai lagi mengetuai pasukan itu bagi aksi menentang Slovakia di Wembley.

JORDAN Henderson (kanan) bersama Raheem Sterling (dua dari kanan) dan Kane (dua dari kiri) pada sesi latihan menjelang aksi menentang Slovakia, awal pagi esok. - Foto AFP

Southgate memberitahu wartawan di pusat latihan Tottenham Hotspur di Enfield, utara London, 'tiada perlunya' untuk menukar kapten.

Pertahanan kiri Tottenham, Danny Rose dan perancang tengah Liverpool Adam Lallana tidak berada dalam skuad berikutan masalah kecederaan, namun Southgate melaporkan sebaliknya apabila mengakui tiada kecederaan baharu dihadapi pasukan bimbingannya

England kini berkelebihan dua mata di atas Slovakia di puncak Kumpulan F dan jika menang, mereka hanya perlukan dua mata lagi daripada baki dua aksi untuk mengesahkan tempat ke Russia. - AFP

Berita Harian X